‘Adakah pilihan raya Datuk Bandar KL bakal guna daftar pemilih SPR?’ – Takiyuddin

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) mempersoalkan sama ada sistem pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur yang kebolehlaksanaannya sedang dalam proses kajian ketika ini bakal menggunakan daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana ia dikhuatiri memberi implikasi yang besar.
Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu perlu dijelaskan secara terperinci dan disyorkan dibuat menerusi sesi penerangan menteri selain perbahasan juga turut dibuka.
“Kita mahu tahu bagaimana pola dalam Kuala Lumpur dari segi kependudukan atau demografi dan apakah sistem pilihan raya yang nak dibuat. Adakah berdasarkan daftar pemilih yang sekarang ini digunakan oleh SPR?
“Ini kerana refleksinya adalah 11 daripada 13 Parlimen Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur) ini didominasi oleh satu parti politik. Itu yang kita mahu penjelasan daripada kerajaan. Kalau boleh buat penerangan menteri, buka (untuk) perbahasan, kita bersedia untuk berbahas,” katanya yang diiringi barisan Ahli Parlimen PN pada sidang akhbar di Pusat Media Parlimen di sini pada Khamis.
Selasa lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dilapor berkata, kajian berhubung cadangan pelaksanaan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bukan dilaksanakan oleh DAP, sebaliknya dijalankan universiti awam (UA) terkemuka iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM.
Jelasnya, kajian terbabit dijalankan sejak Disember lalu di bawah Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa yang ketika itu menjaga hal ehwal Wilayah Persekutuan.
Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas turut mempersoalkan keputusan kerajaan memilih UIAM untuk menjalankan kajian terbabit.
Beliau menegaskan, kerajaan perlu menjelaskan faktor pemilihan universiti itu kerana ada banyak institusi pengajian tinggi lain mempunyai kepakaran dalam bidang berkaitan.
“Kami nak tahu kenapa pilih UIAM? Terdapat banyak lagi universiti lebih senior di negara ini, misalnya Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan sebagainya atau boleh digabungkan beberapa universiti.
“Jangan tolak tepi Universiti Teknologi Mara (UiTM) juga, itu universiti yang sangat senior,” ujar beliau.
Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Kota Bharu itu berpandangan bahawa tiada keperluan untuk menukar sistem pelantikan datuk bandar yang dilihat berjalan lancar di bawah Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 sejak lebih 60 tahun.
“Setakat ini kita tidak pernah mendengar Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 ini telah menyebabkan berlaku masalah dalam pentadbiran bandar raya. Tidak berlakunya isu pentadbiran yang menyebabkan kerugian kepada negara.
“Sebab (akta) itu Datuk Bandar Kuala Lumpur menjalankan pentabirannya dengan baik. Kalau ada kelemahan pun, bagi kita tidaklah sampai perlu ditukar sistem pemilihan datuk bandar. Itu pandangan kita dan kita harap perkara ini dijawab juga oleh pihak kerajaan,” gesanya.
Ringkasan AI
- Perikatan Nasional mempersoalkan kebolehlaksanaan sistem pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur yang sedang dikaji
- Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, meminta penjelasan terperinci tentang sistem pilihan raya dan penggunaan daftar pemilih SPR
- Kajian tentang pilihan raya Datuk Bandar dijalankan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia atas arahan Menteri Wilayah Persekutuan
- Takiyuddin mempertikaikan pemilihan UIAM untuk menjalankan kajian, menyarankan keterlibatan universiti lain yang lebih senior
- Ahli Parlimen Kota Bharu berpendapat sistem pelantikan datuk bandar sedia ada berjalan lancar dan tidak perlu diubah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

