Pemuda UMNO tolak pilihan raya Datuk Bandar KL

Muhamad Akmal
Muhamad Akmal
A
A
A

SHAH ALAM – Pemuda UMNO menolak dan berikrar akan menggagalkan cadangan untuk mengadakan pilihan raya jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Ketuanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, cadangan berkenaan dilihat sebagai kesinambungan kepada usaha sebelum ini berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) serta cadangan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Sebelum ini PSB, selepas itu pilihan raya PBT, dan kali ini pula pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur.

“Mereka tetap dengan pendirian mereka, kita jangan lalai. Sebagaimana kita menolak dan menggagalkan perancangan PSB serta pilihan raya PBT sebelum ini, begitu jugalah kita mesti menolak dan menggagalkan rancangan mereka kali ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Isnin.

Memetik laporan portal Malaysiakini pada Ahad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dilaporkan berkata, pilihan raya sedemikian dilihat lebih praktikal berbanding memilih ramai ahli majlis bandar raya menerusi pilihan raya kerajaan tempatan.

Menurut beliau, struktur pentadbiran sedia ada melibatkan terlalu banyak unit, dengan ibu negara ketika ini ditadbir secara serentak oleh seorang Datuk Bandar, ahli-ahli Parlimen serta penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Dalam pada itu, Muhamad Akmal turut mengingatkan agar perbalahan dalaman tidak melemahkan kekuatan perjuangan parti.

“Kita sibuk bergaduh sesama sendiri kerana kuasa, mereka pula bersatu kerana kuasa. Sedarlah wahai saudaraku,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Pemuda UMNO menolak cadangan pilihan raya jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur
  • Cadangan itu dilihat sebagai kesinambungan usaha sebelumnya berkaitan dengan RUU Pembaharuan Semula Bandar dan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan
  • Menurut Hannah Yeoh, pilihan raya Datuk Bandar dianggap lebih praktikal berbanding pemilihan ahli majlis bandaraya secara pilihan raya kerajaan tempatan
  • Struktur pentadbiran sedia ada melibatkan banyak unit dengan ibu negara ditadbir oleh Datuk Bandar, ahli Parlimen dan penasihat DBKL
  • Muhamad Akmal mengingatkan supaya perbalahan dalaman tidak melemahkan kekuatan perjuangan parti

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!