Pilihan raya Datuk Bandar KL boleh undang krisis terbesar sejak 1974 - Ketua Pemuda Pas WP

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelaksanaan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur secara tergesa-gesa atau bermotif politik berisiko mencetuskan krisis tadbir urus bandar paling besar sejak ibu negara itu diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pada 1974.

Ketua Pemuda Pas Wilayah Persekutuan, Azmer Syazwan Ahmad Suparmin berkata, cadangan mengkaji pelaksanaan pilihan raya Datuk Bandar itu bukan isu pentadbiran semata-mata, sebaliknya menyentuh teras Perlembagaan Persekutuan, struktur kuasa antara kerajaan Persekutuan dan Wilayah Persekutuan, selain keseimbangan demografi serta keadilan sosial bandar.

Menurutnya, kedudukan Kuala Lumpur sebagai Wilayah Persekutuan adalah unik kerana ia diletakkan secara langsung di bawah kerajaan Persekutuan.

"Pelantikan Datuk Bandar oleh Kerajaan Persekutuan bukan satu kebetulan, tetapi direka bagi mengelakkan dominasi politik setempat dan memastikan pentadbiran Kuala Lumpur kekal stabil.

"Memilih Datuk Bandar melalui pilihan raya tanpa rombakan menyeluruh terhadap kerangka perlembagaan adalah penyederhanaan berbahaya terhadap struktur Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azmer Syazwan berkata, cadangan itu turut membawa risiko penumpuan kuasa politik sekiranya Datuk Bandar dipilih secara langsung termasuk memiliki legitimasi politik lebih kuat berbanding Ahli Parlimen serta berpotensi mengabaikan nasihat wakil rakyat.

Katanya, keadaan itu lebih membimbangkan berbanding sistem lantikan sedia ada yang tertakluk kepada kawalan Kabinet dan Parlimen sebagai mekanisme semak dan imbang.

Mengulas isu sosial, beliau berkata, Kuala Lumpur mempunyai komposisi demografi yang kompleks termasuk majoriti bukan Melayu, kepekatan pengundi berpendapatan tinggi serta jurang ketara antara pemilik hartanah dan penyewa.

"Tanpa jaminan struktur yang adil, komuniti Melayu bandar, penduduk perumahan awam (PPR) serta golongan rentan berisiko terpinggir secara sistemik dalam proses pemilihan Datuk Bandar,” jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, katanya, Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan mengemukakan beberapa cadangan alternatif termasuk memperkukuh Majlis Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kuasa semak imbang sebenar, mewujudkan wakil komuniti dalam struktur perancangan bandar serta melaksanakan audit menyeluruh Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.

Dalam pada itu, Azmer Syazwan memberi amaran agar Kuala Lumpur tidak dijadikan ‘makmal eksperimen politik’ dan kestabilan bandar tidak digadai demi tuntutan ideologi tertentu.

"Pas Wilayah Persekutuan tidak akan berdiam diri sekiranya langkah ini diteruskan tanpa konsensus nasional, perlindungan perlembagaan dan jaminan keadilan sosial sebenar,” katanya.

 

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!