Kajian pilihan raya Datuk Bandar wajar diperluas ke bandar utama lain - Farhan Haziq

SHAH ALAM - Kajian berkenaan pilihan raya Datuk Bandar di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) wajar diperluas ke majlis bandaraya utama lain di negara ini.
Ahli Majlis Perbandaran Kajang, Farhan Haziq Mohamed berkata, pelaksanaan tersebut membolehkan rakyat memilih pemimpin mereka dan memastikan Datuk Bandar bertanggungjawab terhadap dasar serta infrastruktur.
Katanya, berdasarkan pengalamannya sebagai peguam selama 10 tahun dan Ahli Majlis selama lapan tahun di Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan kini Majlis Perbandaran Kajang, beliau menyokong penuh kajian berkenaan dan menggesa ia diperluaskan ke bandar-bandar utama lain.
"Apabila turun padang ramai penduduk bertanya siapa Datuk Bandar dan siapa Yang Dipertua (YDP) di kawasan mereka. Jika dibuat bancian ramai di antara mereka tidak mengenali pemimpin kerajaan tempatan masing-masing.
"Keadaan ini berpunca daripada sistem pelantikan Datuk Bandar dan YDP yang dibuat secara lantikan oleh kerajaan negeri dan Persekutuan secara tidak terjangka," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, peranan Datuk Bandar dan YDP bukan sekadar sebagai ketua jabatan, sebaliknya mengetuai pentadbiran kerajaan tempatan yang menguruskan peruntukan kewangan yang besar.
"Sebagai contoh, peruntukan DBKL berjumlah RM2.8 bilion, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berjumlah RM600 juta, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) RM512 juta dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) berjumlah RM364 juta," katanya.
Dalam pada itu, beliau membidas dakwaan Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) bahawa pilihan raya Datuk Bandar tidak mempunyai keperluan dari sudut perlembagaan.
"Ini bukan isu perlembagaan, tetapi soal usaha kerajaan untuk mereformasikan sistem demokrasi di Malaysia. Jika kita boleh mengadakan pilihan raya negeri dan Persekutuan, tiada sebab ia tidak boleh dilaksanakan di peringkat kerajaan tempatan.
"Barangkali ramai yang lupa gabungan pertama UMNO-MCA pun pernah bertanding dalam Majlis Perbandaran Kuala Lumpur dan Pulau Pinang sekitar tahun 1951- 1952," katanya.
Farhan Haziq juga menyifatkan dakwaan bahawa pilihan raya Datuk Bandar akan dipengaruhi kartel atau gengster sebagai tidak berasas.
"Perkara ini boleh berlaku di pilihan raya Dewan Undangan Negeri dan Persekutuan, namun, tidak pula ada cadangan untuk memansuhkan semua pilihan raya tersebut," katanya.
Ujarnya, risiko itu harus diurus melalui proses demokratik, akauntabiliti dan pengawasan, bukan menolak pilihan raya sama sekali.
"Justeru, saya mencadangkan kajian ini dimulakan di bandar-bandar utama dahulu, manakala bandar lain boleh melalui proses sedia ada.
"Saya juga menggesa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersama-sama Menteri Wilayah Persekutuan untuk memperluaskan kajian pilihan raya Datuk Bandar ini di majlis bandaraya sedia ada.
"Seterusnya dibentangkan di Kabinet, supaya keputusan berkenaan dibuat secara menyeluruh dan menjadi salah satu usaha Kerajaan Madani meningkatkan pendemokrasian dan akauntabiliti kerajaan tempatan di Malaysia," katanya.
Ringkasan AI
- Kajian pilihan raya Datuk Bandar di Kuala Lumpur harus diperluas ke bandar utama lain di Malaysia
- Pelaksanaan pilihan raya membolehkan rakyat memilih pemimpin dan memastikan Datuk Bandar bertanggungjawab terhadap dasar serta infrastruktur
- Farhan Haziq, dengan pengalaman sebagai peguam dan ahli majlis, menyokong kajian dan menggesa ia diperluaskan
- Sistem pelantikan Datuk Bandar dan YDP secara lantikan oleh kerajaan negeri dan Persekutuan dianggap tidak terjangka
- Farhan Haziq mencadangkan kajian dilakukan di bandar-bandar utama dahulu sebagai usaha meningkatkan pendemokrasian dan akauntabiliti kerajaan tempatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
