Kisah ibu berpantang redah 100km ke pusat mengundi raih perhatian ADUN Lamag

KOTA KINABALU – Laporan Sinar Harian mengenai seorang ibu yang masih dalam tempoh berpantang sanggup meredah perjalanan hampir 100 kilometer (km) serta membelanjakan RM250 untuk menyewa kereta demi menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) mendapat perhatian Mohd Ismail Ayob atau Miha yang memenangi kerusi DUN Lamag.
Dalam hantaran di Facebook, Miha yang turut menyertakan tangkap layar laporan Sinar Harian mengenai kisah tersebut memaklumkan bahawa wakilnya telah menyampaikan sumbangan kepada Hasni Hamsah, 37, yang menetap di Sandakan.
“Tuan Kamarul bin Mahalil mewakili YB Miha menyampaikan sumbangan kepada Hasni Hamsah.
“Seorang ibu yang masih dalam tempoh berpantang sanggup meredah perjalanan jauh semata-mata menunaikan kewajipan sebagai pengundi. Pengorbanan ini bukan perkara kecil, tetapi lambang kesungguhan dan kecintaan kepada hak demokrasi.
“Atas rasa prihatin, sedikit sumbangan telah disampaikan bagi meringankan beban yang ditanggung. Semoga bantuan ini dapat memberi kelegaan dan menjadi penguat semangat buat beliau sekeluarga,” tulisnya pada Isnin.
Dalam hantarannya itu juga, Miha menekankan bahawa setiap pengorbanan rakyat wajar dihargai dan didengari.
“Kami percaya, setiap pengorbanan rakyat wajar dihargai dan didengari. Insya-ALLAH, kebajikan rakyat akan terus menjadi keutamaan,” katanya.
Akhbar ini pada Sabtu lalu dalam laporannya sempena PRK itu turut menyiarkan kesukaran seorang ibu yang membawa bayinya berusia sebulan ke pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Garam, Kinabatangan.
Beliau yang tinggal di Sandakan, terpaksa meredah perjalanan jauh dan berdepan kesesakan lalu lintas sebelum tiba di pusat mengundi tersebut.
Malah, ini merupakan kali kedua beliau menyewa kenderaan, kali pertama semasa mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada November tahun lalu dan secara keseluruhan kos yang dibelanjakan adalah sebanyak RM500 tidak termasuk perbelanjaan makan.
Ringkasan AI
- Seorang ibu dalam tempoh berpantang meredah 100 kilometer dan membelanjakan RM250 untuk menyewa kereta guna mengundi
- Miha menyampaikan sumbangan kepada ibu berkenaan melalui wakilnya
- Pengorbanan ibu itu dianggap simbol kesungguhan dan kecintaan kepada hak demokrasi
- Setiap pengorbanan rakyat akan dihargai dan didengari menurut Miha
- Ini bukan kali pertama ibu itu menyewa kenderaan untuk mengundi, dengan keseluruhan kos RM500 tidak termasuk makan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
