Ibu berpantang redah 100km perjalanan, belanja RM250 sewa kereta ke pusat mengundi

Hasni tiba di pusat mengundi SK Bukit Garam kira-kira jam 11 pagi.
Hasni tiba di pusat mengundi SK Bukit Garam kira-kira jam 11 pagi.
A
A
A

KINABATANGAN - Seorang ibu yang masih dalam tempoh berpantang sanggup meredah perjalanan hampir 100 kilometer (km) dari Sandakan serta berdepan kesesakan jalan selama beberapa jam semata-mata untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada Sabtu.

Malah, Hasni Hamsah, 37, yang tiba di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Garam kira-kira jam 11 pagi, turut membelanjakan sekitar RM250 bagi menyewa kenderaan demi membolehkannya pulang mengundi sekali lagi pada PRK berkenaan.

"Tadi saya bergerak dari Sandakan sekitar jam 7 pagi dan terpaksa berdepan dengan jalan yang sesak. Ini barulah saya dapat sampai ke sini untuk mengundi.

"Selain itu, saya juga terpaksa membawa bayi yang baru berusia sebulan kerana tiada siapa yang dapat menjaganya," katanya ketika ditemui pemberita di pusat pengundian tersebut.

Menurut Hasni, walaupun masih dalam tempoh berpantang, urusan mengundi berjalan lancar hasil bantuan petugas pilihan raya yang bertugas.

"Tapi saya bersyukur kerana sebaik saja tiba, urusan untuk mengundi sangat mudah kerana dibantu oleh petugas yang ada dan mereka sempat membantu mendukung bayi semasa membuat semakan dan membuang undi," katanya.

Mengimbas pengalaman mengundi sebelum ini, Hasni berkata, dia turut berdepan cabaran sama ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu apabila terpaksa pulang mengundi dalam keadaan sarat mengandung sembilan bulan.

"Semasa PRN tempoh hari pun memang saya menyewa kenderaan walaupun ketika itu saya sudah sarat mengandung sembilan bulan.

"Kini bayi saya sudah berusia sebulan dan saya tetap datang mengundi sekali lagi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, secara keseluruhan perbelanjaan untuk menyewa kenderaan bagi pulang mengundi termasuk ketika PRN lalu lebih RM500, tidak termasuk kos makan dan lain-lain.

"Untuk sekali sewa sahaja RM250 dan ini kali kedua saya sewa untuk datang mengundi. Tapi bagi saya, tidak kisah berbelanja asalkan dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi," katanya yang menetap di Sandakan.

 

 

Ringkasan AI

  • Seorang ibu berpantang meredah perjalanan hampir 100 kilometer dari Sandakan untuk mengundi di PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag
  • Ibu tersebut, Hasni Hamsah, berdepan dengan kesesakan jalan dan membelanjakan RM250 untuk menyewa kenderaan demi mengundi
  • Hasni terpaksa membawa bayi berusia sebulan kerana tiada penjaga
  • Urusan mengundi dibantu oleh petugas pilihan raya, memudahkan proses walaupun dalam keadaan berpantang
  • Hasni sebelum ini turut mengundi dalam keadaan sarat mengandung sembilan bulan dan telah berbelanja lebih RM500 untuk mengundi termasuk ketika PRN lalu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!