Kementerian Haji Saudi gantung 1,800 kontrak agensi umrah

JEDDAH - Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan penggantungan kontrak bersama 1,800 agensi pelancongan asing yang beroperasi dalam sektor umrah.
Jumlah itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan 5,800 agensi yang diberikan tempoh 10 hari untuk memperbetulkan status masing-masing.
Saudi Press Agecy (SPA) pada Ahad lalu melaporkan keputusan itu dibuat susulan penilaian berkala yang mendedahkan prestasi buruk dan kualiti perkhidmatan yang kurang memuaskan.
Kementerian itu menjelaskan bahawa penggantungan tersebut hanya melibatkan pengeluaran visa baharu dan merupakan sebahagian daripada pendekatan kawal selia bagi membantu agensi terlibat menangani isu pengelasan serta meningkatkan pematuhan terhadap piawaian yang ditetapkan.
Jurucakap kementerian, Ghassan Alnwaimi, berkata, tindakan pengawalseliaan akan diambil terhadap mana-mana agensi yang gagal membetulkan kelemahan sebelum tarikh akhir yang ditetapkan.
Tambahnya, kementerian tersebut akan terus menggunakan mekanisme pemantauan dan penilaian bagi memperkukuh kebolehpercayaan sektor Umrah serta melindungi hak para jemaah.
"Kontrak akan diaktifkan semula sebaik sahaja syarat yang ditetapkan dipenuhi dalam tempoh kelonggaran yang diberikan. Bakal jemaah umrah yang memegang visa sah atau mempunyai tempahan sedia ada bagaimanapun tidak akan terjejas," menurut laporan SPA. - Agensi
Ringkasan AI
- Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menggantung kontrak 1,800 agensi pelancongan asing untuk sektor umrah
- Jumlah agensi yang digantung merupakan sebahagian dari 5,800 agensi yang diminta untuk memperbetulkan status dalam 10 hari
- Penggantungan disebabkan oleh prestasi buruk dan kualiti perkhidmatan yang tidak memuaskan
- Penggantungan hanya melibatkan pengeluaran visa baharu dan bertujuan untuk meningkatkan pematuhan terhadap piawaian
- Kontrak akan diaktifkan semula apabila syarat dipenuhi, visa sah atau tempahan sedia ada bagi bakal jemaah umrah tidak terjejas
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

