'Sedekah Subuh amalan harian arwah Jamilah'

KOTA BHARU - Jemaah umrah yang meninggal dunia dalam pesawat dan berwuduk semasa menunggu solat Subuh pada Rabu lalu menjadikan sedekah Subuh sebagai amalan harian.
Sedekah Subuh yang dikumpulkan oleh Allahyarhamah Jamilah Yusoff, 73, itu akan disumbangkan kepada masjid setiap hari Jumaat.
Menurut anak saudaranya, Tengku Amaleen Tengku Amri, 32, kubur arwah sentiasa basah berbanding tanah perkuburan yang lain kering dan semasa pengebumian berbau wangi.
"Semasa di rumah lagi bau wangi ini muncul, seolah-olah berada di dalam kawasan Raudah.
"Kami juga merasa pelik apabila tanah kubur arwah sentiasa basah seperti baharu lepas disiram. Bila kami tanya saudara mara, mereka memaklumkan tiada yang menyiram kubur arwah," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Tengku Amaleen turut sama menunaikan umrah bersama Jamilah dan 17 lagi ahli keluarga yang lain memberitahu, ibu saudaranya itu dikenali sebagai seorang yang suka bersedekah walaupun hanya seorang suri rumah.
Ujarnya, selain sedekah subuh yang menjadi rutin hariannya sejak berdekad lalu, dia juga pemurah dan sering menghulurkan wang apabila mendengar khabar sanak saudara meninggal dunia atau sakit.
"Walaupun dia tidak dapat hadir menziarah, tetapi tetap mengirim wang kepada ahli keluarga yang lain. Ibu saudara sukar meninggalkan rumah kerana mempunyai seorang anak perempuan sindrom Down selain perlu menjaga suaminya yang strok.
"Namun suaminya sudah meninggal empat tahun lalu. Semasa menunaikan umrah kami telah melihat kebesaran ALLAH apabila arwah sering menerima sedekah berbentuk duit daripada jemaah dari pelbagai negara.
"Semasa di Masjidil Haram, Madinah ada sahaja jemaah yang hulur duit pada arwah. Bukan itu sahaja, apabila dia membeli-belah, ada peniaga yang tidak mengambil duit, malah memberinya percuma dan ada memulangkan semula duit yang dibayar," katanya.
Menurut Tengku Amaleen lagi, arwah menunaikan umrah hasil tajaan ahli keluarga yang mana ibu saudaranya itu merupakan anak sulung daripada sembilan beradik dan mengajar al-Quran sebelum ini.
Dia berkata, sepanjang menunaikan umrah bermula 19 hingga 28 Januari lalu ibu saudaranya yang mempunyai empat orang anak itu sihat dan tidak pernah meninggalkan solat berjemaah di sana.
Sedangkan sebelum ini ujarnya, arwah uzur kerana mempunyai beberapa penyakit seperti darah tinggi, jantung dan lain-lain.
Sinar Harian pada Sabtu melaporkan pemergian jemaah umrah wanita dalam pesawat ketika pulang ke tanah air mengundang rasa sebak dalam kalangan warganet selepas videonya tular di media sosial pada Jumaat.
Allahyarhamah Jamilah dilaporkan menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan berwuduk untuk menunaikan solat Subuh di tempat duduknya.
Ringkasan AI
- Jemaah umrah meninggal dalam pesawat semasa berwuduk untuk solat Subuh
- Sedekah Subuh yang dikumpul akan disumbangkan ke masjid setiap Jumaat
- Kubur sentiasa basah dan semasa pengebumian berbau wangi
- Allahyarhamah Jamilah dikenali suka bersedekah dan pemurah
- Mendapat sedekah dari jemaah dari pelbagai negara semasa di Masjidil Haram, Madinah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

