Laluan berbatu hampir 3km ke lokasi penemuan enam rangka mangsa bunuh

JOHOR BAHRU – Lokasi penemuan enam rangka manusia termasuk lima sekeluarga di kawasan kebun kelapa sawit Kangkar Pulai di sini terletak jauh dari penempatan penduduk dan tersembunyi kira-kira 2.9 kilometer (km) dari jalan utama Skudai–Pontian.
Tinjauan Sinar Harian mendapati laluan ke lokasi kejadian hanyalah jalan berbatu dan tidak berturap, selain permukaannya yang tidak rata, sekali gus menyukarkan pergerakan kenderaan biasa.
Berdasarkan pemerhatian, kawasan berkenaan hanya boleh dimasuki menggunakan kenderaan pacuan empat roda atau berjalan kaki melalui laluan ladang.

Sepanjang perjalanan ke lokasi, suasana sekitar sunyi dan dikelilingi pokok kelapa sawit serta ladang ternakan ayam, menyebabkan kawasan itu terlindung daripada pandangan luar dan jarang dilalui orang awam.
Di dalam kawasan kebun kelapa sawit tersebut, terdapat sebuah kuil lama yang terbiar dan dipercayai tidak lagi digunakan sejak sekian lama.
Sisa struktur rumah yang terbakar masih jelas kelihatan, dengan kesan hangus pada rangka bangunan dan dinding yang sebahagiannya telah runtuh.

Turut kelihatan garisan kuning polis dipasang di sekitar kawasan rumah berkenaan.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan misteri kehilangan lima beranak akhirnya terungkai apabila polis menemui rangka manusia yang dipercayai dibunuh dalam sebuah rumah terbiar yang terbakar di kawasan kebun kelapa sawit Kangkar Pulai, Skudai pada awal bulan lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, sebelum itu polis menerima laporan orang hilang sebelum seorang lelaki berusia 48 tahun tampil membuat laporan berhubung penemuan rangka manusia di lokasi berkenaan pada kira-kira jam 1.28 tengah hari, 9 Januari lalu.

Menurutnya, laporan itu diterima oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri ketika pengadu sedang berusaha menjejaki isteri serta anak-anaknya yang sudah lama terpisah dan dikatakan tinggal di rumah berkenaan yang terletak dalam kebun kelapa sawit tersebut.
Ringkasan AI
- Lokasi penemuan enam rangka manusia di Johor Bahru tersembunyi dan jauh dari penempatan penduduk
- Laluan ke lokasi itu hanya boleh dilalui dengan kenderaan pacuan empat roda atau berjalan kaki
- Kawasan tersebut sunyi dan dikelilingi ladang kelapa sawit serta ladang ternakan ayam
- Terdapat sebuah kuil lama yang tidak lagi digunakan di dalam kawasan kebun kelapa sawit
- Polis menemui rangka manusia di sebuah rumah terbiar yang terbakar, misteri kehilangan lima beranak terungkai
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

