Jemaah umrah meninggal dunia dalam pesawat, ketika bersiap untuk solat Subuh

SHAH ALAM - Pemergian jemaah umrah wanita dalam pesawat ketika pulang ke tanah air mengundang rasa sebak dalam kalangan warganet selepas videonya tular di media sosial pada Jumaat.
Allahyarhamah Jamilah Yusoff, 73, dilaporkan menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan berwuduk untuk menunaikan solat Subuh di tempat duduknya.
Pengurus jenazah, Mohd Azman Mat Jusoh berkata, warga emas terbabit antara 40 jemaah yang mengikuti pakej sebuah syarikat umrah dan pelancongan ke Tanah Suci, kira-kira dua minggu lalu.
Menurutnya, amalan bersedekah dan membaca surah at-Taubah sepanjang hayatnya menjadi antara kebaikan yang dikongsikan ahli keluarga ketika menguruskan jenazah arwah.
Katanya lagi, meskipun tidak mampu berjalan tetap tidak pernah meninggalkan amalan bersedekah dengan cara menyediakan sendiri tabung di rumah.
“Setiap hari arwah akan mengenepikan sedikit wang untuk dimasukkan ke dalam tabung sedekah Subuh yang dibuat sendiri berikutan keadaan kesihatannya yang tidak mampu berjalan.
"Tabung itu diamanahkan kepada anaknya untuk disedekahkan ke masjid,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Meskipun berkerusi roda, Mohd Azman berkata, ahli keluarganya turut memaklumkan bahawa arwah berada dalam keadaan sihat sepanjang berada di Tanah Suci.
“Arwah ditaja sepenuhnya oleh adik kandungnya untuk menunaikan umrah kali ini.
“Sepanjang berada di sana, arwah dikurniakan kesihatan yang baik dan berpeluang menziarahi semua tempat seperti yang dirancang walaupun berkerusi roda,” katanya.
Tambahnya lagi, pihaknya membantu menguruskan jenazah arwah tanpa mengenakan sebarang caj memandangkan status arwah sebagai asnaf di negeri itu.
“Alhamdulillah, ALLAH permudahkan segala urusan daripada awal sehingga jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Tumboh, Kelantan,” katanya.
Ringkasan AI
- Jemaah umrah wanita meninggal dalam pesawat ketika pulang ke tanah air
- Allahyarhamah Jamilah Yusoff menghembuskan nafas terakhir sambil berwuduk untuk solat Subuh
- Arwah merupakan seorang dermawan, selalu bersedekah dan membaca surah at-Taubah
- Walaupun berkerusi roda, arwah menunaikan umrah dengan ditaja oleh adik kandung
- Jenazah diuruskan tanpa caj sebagai asnaf dan selamat dikebumikan di Kelantan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
