Andalusia ringankan beban asnaf Pekan

PEKAN - Keprihatinan terhadap kebajikan komuniti setempat mendorong Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd menyalurkan sumbangan zakat berjumlah RM230,000 kepada 800 golongan asnaf di daerah ini.
Sumbangan itu melibatkan 600 pelajar sekolah yang menerima RM200 seorang dan seramai 200 warga emas serta pesakit kronik yang menerima RM500 setiap seorang.
Pengarah Urusan Andalusia, Ibrahim Mat Sin berkata, program agihan zakat di Pekan itu yang ketiga dianjurkan secara tahunan selepas pelaksanaan sekitar 2023.
Menurutnya, Pekan dipilih kerana beliau pernah bekerja di daerah itu dan mahu memberi manfaat kepada komuniti setempat.
“Jadi, saya harap kalau ada rezeki, tahun depan insya-ALLAH saya meneruskan lagi agihan zakat di sini.
“Tahun ini alhamdulillah, jemaah saya hampir 60,000 orang, meningkat daripada tahun sebelumnya. Jadi, untuk jumlah penerima tahun depan bergantung pada wakalah yang diterima,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan zakat kepada asnaf daerah Pekan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini pada Sabtu.
Agihan wang zakat kepada 800 penerima disampaikan oleh Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali.
Selain agihan zakat, Ibrahim juga turut mengumumkan tajaan menunaikan ibadah umrah pada tahun ini di bawah kendalian Andalusia.
Jelasnya, pemilihan 45 penerima diserahkan kepada wakil rakyat kawasan bagi memastikan golongan yang benar-benar layak diberikan peluang.
“Kalau kita tak bawa, memang mereka tidak berpeluang pergi. Sebelum ini saya pernah membawa 48 asnaf, jadi kali ini kita sambung lagi,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Daerah Pekan, Azora Shamsudin berkata, pihaknya akan terus memberi sokongan kepada Andalusia dalam menjayakan program bantuan kepada golongan asnaf.
“Saya ucapkan terima kasih kepada pihak Andalusia dan berharap program seperti ini dapat dilaksanakan setiap tahun,” ujarnya.
Bantu tampung kos rawatan
Seorang penerima, Rosayu Ghazali, 52, berkata, bantuan zakat RM500 itu sangat membantu menampung kos rawatan bulanan dan membeli barangan perubatan.
Rosayu menghidap kencing manis sehingga kehilangan beberapa jari kaki dan turut menghadapi masalah buah pinggang.
“Memang terkejut dan sangat bersyukur. Ini kali pertama saya terima bantuan zakat.
“Terima kasih Andalusia kerana sumbangan ini sebenarnya sedikit sebanyak meringankan beban saya, sekurang-kurangnya dapat beli krim dan balutan kaki, dengan kos biasanya mencecah RM300 sebulan,” katanya.

Mohamad Zamri Mohamad Napi, 54, pula berkata, bantuan zakat itu sangat membantu menampung keperluan harian termasuk membeli lampin untuk dirinya.
“Alhamdulillah, sebahagian daripadanya boleh saya gunakan untuk menunaikan zakat sendiri, jadi hidup lebih teratur dan tenang,” katanya.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pekan, Isqal Lutfi M Romzi, 16, pula berkata, bantuan RM200 itu akan digunakan untuk membeli kelengkapan persekolahan.
“Boleh guna untuk beli buku dan alat tulis, jadi keluarga saya pun lega,” ujarnya.
Sementara itu, Muhammad Faizul Husaini Kasim, 19, yang sedang mengikuti pengajian Tingkatan Enam di SMK LKTP Chini berkata, bantuan itu memberi motivasi untuknya terus fokus dalam pelajaran.
“Ini kali pertama saya terima bantuan. Insya-ALLAH saya akan gunakan untuk keperluan belajar dan persediaan peperiksaan nanti,” katanya.
Ringkasan AI
- Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd menyalurkan sumbangan zakat RM230,000 kepada 800 golongan asnaf di Pekan
- Sumbangan itu dibagi kepada 600 pelajar yang menerima RM200 seorang dan 200 warga emas serta pesakit kronik yang menerima RM500 seorang
- Program agihan zakat ini adalah yang ketiga secara tahunan diadakan di Pekan sejak pelaksanaan sekitar 2023
- Selain zakat, Andalusia juga menaja ibadah umrah untuk 45 penerima yang dipilih oleh wakil rakyat
- Penerima zakat menggunakan sumbangan tersebut untuk menampung kos rawatan, pembelian barangan perubatan, dan keperluan harian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

