Guru sanggup buat pinjaman bank, serah simpanan RM325,000 kepada 'scammer'

KUANTAN - Seorang guru wanita terpaksa membuat pinjaman bank dan menggunakan wang simpanan untuk menjelaskan wang jaminan RM325,000 bagi mengelak berdepan tindakan undang-undang selepas didakwa terlibat dengan kes penggubalan wang haram.
Wanita berusia 38 tahun itu bertindak demikian selepas terpedaya dengan arahan palsu dari anggota sindiket 'phone scam' menyamar pegawai Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) dan polis.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa menerima panggilan daripada suspek 25 September tahun lalu mendakwa beberapa akaun bank dibuka atas namanya di Johor.
Menurutnya, semua akaun tersebut dikatakan digunakan dalam kegiatan penggubalan wang haram.
"Mangsa kemudiannya dirujuk kepada seorang 'pegawai polis' melalui sambungan panggilan kononnya bagi tujuan siasatan.
"Bagi menyelesaikan kes itu, suspek mengarahkan mangsa membuat bayaran wang jaminan secara pindahan wang ke beberapa akaun bank yang diberikan," katanya melalui kenyataan pada Ahad.
Yahaya berkata, mangsa berjaya diperdayakan apabila membuat 21 transaksi pindahan wang secara pindahan tunai dan pindahan dari akaun bank ke lima akaun bank berbeza dalam tempoh 29 September hingga 4 November tahun lalu dengan jumlah keseluruhan RM325,000.
"Mangsa hanya menyedari telah ditipu apabila gagal menghubungi suspek.
"Wanita itu mendapati nombor telefonnya telah disekat manakala wang jaminan gagal dipulangkan seperti dijanjikan," katanya.
Yahaya berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah panik apabila menerima panggilan daripada individu tidak dikenali terutamanya yang mendakwa dari agensi penguat kuasa atau institusi kewangan.
Katanya, sebarang panggilan mencurigakan hendaklah disahkan terus dengan pihak polis atau institusi berkaitan.
"Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.
"Sekiranya mengesyaki telah menjadi mangsa penipuan, segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997," ujarnya.
Ringkasan AI
- Seorang guru wanita membuat pinjaman bank dan menggunakan simpanan untuk bayar jaminan RM325,000 mengelak tindakan undang-undang dalam kes penipuan
- Terpedaya dengan arahan palsu dari sindiket 'phone scam' menyamar pegawai AMLA dan polis
- Menerima panggilan mendakwa akaun bank dibuka atas namanya digunakan untuk penggubalan wang haram
- Melakukan 21 transaksi pindahan wang ke lima akaun berbeza, jumlah keseluruhan RM325,000
- Menyedari ditipu setelah gagal menghubungi suspek dan wang jaminan tidak dipulangkan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

