Seleweng dana pelaburan: Rumah, tanah dan kenderaan mewah RM9.7 juta disita

KUALA LUMPUR – Rumah, tanah serta kenderaan mewah bernilai mencecah RM9.7 juta antara sitaan terkini yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan siasatan kes penyelewengan dana pelaburan.
Sumber memaklumkan, sitaan terbaharu itu membabitkan enam buah rumah bernilai RM6.54 juta, satu lot tanah bernilai RM1.8 juta serta dua kenderaan mewah dianggarkan RM1.35 juta.
Selain itu, sebanyak 14 akaun bank turut disita bagi tujuan siasatan, namun nilai keseluruhan amaun dalam akaun terbabit masih dalam proses pengesahan pihak bank.
Dalam perkembangan sama, seorang individu wanita bergelar Datuk yang direman selama lima hari telah dibebaskan dengan jaminan pada Sabtu kira-kira jam 2 petang.
Manakala seorang lagi individu bergelar Tan Sri yang direman sejak Khamis turut dibebaskan dengan jaminan pada Ahad, sekitar jam 12 tengah hari.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkembangan tersebut.
Menurutnya, sehingga kini seramai 10 orang saksi telah dipanggil bagi dirakam percakapan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
"SPRM sedang giat mengesan saksi-saksi lain bagi melengkapkan siasatan.
"SPRM kekal komited untuk menyelesaikan siasatan kes yang melibatkan kepentingan awam itu dengan kadar segera," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan SPRM mendapati sejumlah hampir RM300 juta telah dikutip antara tahun 2021 hingga 2024 daripada kira-kira 1,700 pelabur bagi tujuan pelaburan ke atas dua syarikat yang dikaitkan dengan individu bergelar Tan Sri.
Namun, semakan menunjukkan dana yang dikutip telah diseleweng dan dibelanjakan untuk tujuan selain daripada yang dipersetujui dalam perjanjian dengan para pelabur.
Menurut sumber, SPRM telah membuka dua kertas siasatan berhubung dakwaan terhadap seorang bergelar Tan Sri yang disyaki menyeleweng dana pelaburan berjumlah hampir RM300 juta.
Sumber berkata, SPRM telah menahan dua individu serta melakukan penggeledahan di lima premis sekitar Lembah Klang pada Rabu dan Khamis lalu.
Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan bahawa perintah reman selama empat hari sehingga 25 Januari terhadap lelaki berusia 60-an itu telah dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat oleh SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

