Hasil pertanian Israel tak laku

TEL AVIV - Sektor eksport pertanian Israel sedang menanggung padah akibat perang ganas di Genting Gaza.
Ia mengalami kemerosotan teruk dek kempen boikot yang dilancarkan pasaran luar negara sebagai respons tegas terhadap perang genosid yang berlarutan lebih dua tahun di wilayah Gaza.
Sejak beberapa bulan lalu, stesen penyiar, Kan 11 telah menyiarkan beberapa laporan tentang kesukaran untuk mengeksport buah-buahan terutamanya sitrus dan mangga ke rantau Eropah dan Asia untuk menagih simpati rakan dagang Tel Aviv.
Kumpulan petani di Tel Aviv turut menyuarakan rungutan terhadap peningkatan pembatalan pesanan hingga mengakibatkan kerugian besar dan hasil pertanian yang tidak terjual membusuk.
"Pembeli antarabangsa terus memulaukan produk Israel manakala pengimport Eropah kini cenderung beralih kepada sumber bekalan alternatif," menurut laporan itu lagi.
Seorang petani menyuarakan sungutan, 'mereka tidak lagi mahu membeli mangga kami.'

Krisis eksport itu diburukkan lagi dengan gangguan penghantaran yang dikaitkan dengan kempen serangan balas dilancarkan gerakan Huthi di Yemen.
Ratusan serangan dilancarkan ke atas kapal yang mempunyai kaitan dengan Israel di Laut Merah sehingga memaksa sebahagian daripadanya terpaksa menggunakan laluan lebih jauh, sekali gus meningkatkan kos import dan eksport.
Kumpulan petani Israel mendakwa lencongan laluan perkapalan itu telah menjejaskan akses kepada pasaran Asia berikutan penghantaran berdepan kelewatan selama beberapa minggu sehingga memberi kesan kepada kualiti barangan.
Menerusi laporan 'Akhir musim oren', petani di Kibbutz Givat Haim Ichud mengeluh kerana kekurangan pesanan eksport.

Pengurus ladang, Nitzan Weisberg berkata, pembatalan dibuat negara Eropah sebagai tanda solidariti dengan Palestin menyebabkan mereka menanggung kerugian yang besar.
"Hasil tanaman Israel tidak lagi mendapat sambutan di blok itu meskipun berkualiti tinggi. Sektor pertanian akan runtuh jika keadaan ini berterusan," ujarnya.
Di Hibat Zion, gudang yang berdepan lambakan buah-buahan terpaksa dijual untuk pasaran domestik.
"Selepas perang tercetus, kami tidak dapat mengeksport walau satu kontena pun ke negara Scandinavia," menurut Setiausaha Agung Persatuan Penanam Sitrus, Daniel Klusky.
Sebahagian petani yang ditemu bual dengan angkuh menyatakan mereka lebih rela menanggung kerugian daripada menjual hasil tuaian kepada penduduk Gaza yang kelaparan kononnya atas kebimbangan keselamatan.
Kempen boikot antarabangsa telah mencetuskan tindak balas ekstremisme Yahudi yang menyasarkan ladang-ladang buah zaitun milik penduduk Palestin. - Agensi
Ringkasan AI
- Sektor eksport pertanian Israel menanggung padah akibat perang di Genting Gaza
- Kemerosotan eksport akibat kempen boikot pasaran luar negara karena perang genosid di Gaza
- Petani mengalami kerugian besar dan hasil pertanian membusuk kerana pembatalan pesanan
- Pembeli antarabangsa memulaukan produk Israel dan pengimport Eropah beralih kepada sumber alternatif
- Gangguan penghantaran dan serangan ke atas kapal meningkatkan kos import dan eksport serta menjejaskan akses ke pasaran Asia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

