Wang simpanan RM8,800 lesap selepas klik pautan di WhatsApp

MELAKA - Seorang wanita kerugian RM8,800 selepas terpedaya dengan penipuan dalam talian yang menawarkan bayaran deposit serendah RM8 bagi tempahan perkhidmatan membaiki mesin basuh pada Sabtu lalu.
Dalam kejadian sekitar jam 4 petang itu, mangsa seorang operator kilang berusia 37 tahun dikatakan melayari Facebook ketika berada di rumahnya di Kampung Tun Razak, Bukit Katil bagi mencari perkhidmatan pembaikan mesin basuh.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa kemudian menemui satu akaun Facebook sebelum menghubungi individu terbabit melalui aplikasi WhatsApp.
“Suspek kemudian memberikan satu pautan kepada mangsa untuk membuat bayaran deposit sebanyak RM8 sebagai caj tempahan.
“Bagaimanapun, selepas mangsa menekan pautan tersebut, didapati telah berlaku tiga transaksi pengeluaran wang daripada akaun milik mangsa tanpa kebenarannya, dengan jumlah keseluruhan RM8,800,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Katanya, mangsa menyedari dirinya telah ditipu sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Malim bagi tindakan lanjut.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.
“Hasil siasatan awal mendapati komunikasi antara mangsa dan suspek berlaku melalui WhatsApp.
“Polis telah memohon maklumat daripada institusi kewangan dan syarikat telekomunikasi berkaitan bagi membantu siasatan,” katanya.
Beliau menasihati orang ramai supaya lebih berwaspada dan tidak mudah mempercayai tawaran perkhidmatan dalam talian yang meminta bayaran melalui pautan mencurigakan, terutamanya di platform media sosial.
Ringkasan AI
- Wanita kerugian RM8,800 akibat penipuan perkhidatan membaiki mesin basuh dalam talian
- Mangsa mencari perkhidmatan pembaikan mesin basuh menerusi Facebook
- Berinteraksi dengan akaun bernama 'Dr Washy Singapore' dan diarahkan membuat bayaran deposit RM8
- Selepas pembayaran, tiga transaksi tidak sah bernilai RM8,800 dikeluarkan dari akaunnya secara tanpa kebenaran
- Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, polis mendapatkan maklumat dari institusi kewangan dan syarikat telekomunikasi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

