Mat motor diarah tolak motosikal jam 4.30 pagi ke balai

Penunggang motosikal diarah menolak kenderaan mereka sejauh satu kilometer ke Balai Polis Senawang selepas ditahan dalam Op Samseng Jalanan pada malam Ahad. Foto PDRM
Penunggang motosikal diarah menolak kenderaan mereka sejauh satu kilometer ke Balai Polis Senawang selepas ditahan dalam Op Samseng Jalanan pada malam Ahad. Foto PDRM
A
A
A

SEREMBAN - Lebih 20 'mat motor' diarah menolak motosikal mereka sejauh satu kilometer pada jam 4.30 pagi dari Jalan Persiaran Senawang ke Balai Polis Senawang selepas ditahan dalam Op Samseng Jalanan pada malam Ahad.

Operasi dilaksanakan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Seremban bersama Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sembilan dan Majlis Bandaraya Seremban bermula jam 2.30 pagi hingga 4.30 pagi.

Antara penunggang motosikal yang diperiksa dalam Op Samseng Jalanan pada malam Ahad. Foto PDRM
Antara penunggang motosikal yang diperiksa dalam Op Samseng Jalanan pada malam Ahad. Foto PDRM

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, operasi berkenaan dilaksanakan selepas risikan mendapati terdapat beberapa kumpulan penunggang motosikal menunggang secara melulu sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain.

"Motosikal ditunggang juga mengeluarkan bunyi ekzos yang bising sehingga mengganggu ketenteraman penduduk setempat.

"Tindakan mereka menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya bukan sahaja membahayakan nyawa sendiri, malah turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain," katanya pada Ahad.

Beliau berkata, sebanyak 23 motosikal dan 20 kereta telah diperiksa dalam operasi selama dua jam tersebut.

Artikel Berkaitan:

Polis mengeluarkan 73 saman atas pelbagai kesalahan. Foto PDRM
Polis mengeluarkan 73 saman atas pelbagai kesalahan. Foto PDRM

Ujarnya, sebanyak 73 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dengan ubah suai ekzos merekodkan kesalahan tertinggi iaitu 15 kes, diikuti tiada nombor pendaftaran dan tiada cermin sisi masing-masing mencatatkan enam kes.

"Tiada lesen memandu (5 kes), nombor pendaftaran tidak ikut peraturan (4 kes) dan selebihnya lain-lain kesalahan termasuk kesalahan bawah umur (1 kes).

"Selain itu daripada 23 motosikal yang diperiksa, tiga daripadanya telah disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Tambah Azahar, dua remaja lelaki berusia 18 dan 19 tahun yang masing-masing bekerja sebagai mekanik serta pembantu kedai makan telah direman dua hari di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk siasatan lanjut.

Beliau turut menegaskan operasi seperti itu akan terus dijalankan dari semasa ke semasa dalam usaha membendung kegiatan samseng jalanan yang boleh menggugat ketenteraman awam dan keselamatan pengguna jalan raya.

Ringkasan AI

  • Lebih 20 'mat motor' diarah menolak motosikal mereka sejauh satu kilometer selepas ditahan dalam Op Samseng Jalanan
  • Operasi dilaksanakan untuk menangani kumpulan penunggang motosikal yang menunggang secara melulu dan berbahaya
  • Motosikal yang ditunggang mengeluarkan bunyi ekzos yang bising dan mengganggu ketenteraman penduduk setempat
  • Sebanyak 23 motosikal dan 20 kereta diperiksa, dengan 73 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan
  • Dua remaja lelaki ditahan untuk siasatan lanjut, operasi ini akan terus dijalankan untuk membendung kegiatan samseng jalanan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!