Keputusan mahkamah di Paris kemenangan besar pertahan aset strategik Malaysia - Arthur

Arthur Joseph Kurup
Arthur Joseph Kurup
A
A
A

KOTA KINABALU - Keputusan Mahkamah Rayuan Paris yang membatalkan sepenuhnya Award Akhir berhubung tuntutan pihak mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu merupakan kemenangan besar mempertahankan kedaulatan negara dan memastikan keselamatan aset strategik Malaysia.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, kejayaan itu membuktikan kerjasama erat antara kerajaan Sabah dan kerajaan Persekutuan, selain ketegasan pasukan perundangan negara dalam mempertahankan kepentingan negeri di peringkat antarabangsa.

"Malaysia telah mencatat satu kejayaan yang besar di peringkat antarabangsa apabila Mahkamah Rayuan Paris telah membatalkan sepenuhnya final award dalam kes tuntutan pihak yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu terhadap Sabah.

"Keputusan ini bukan sahaja mempertahankan kedaulatan undang-undang negara, malah melindungi kepentingan ekonomi serta aset strategik Malaysia khususnya di Sabah. Kejayaan ini adalah hasil kerjasama erat dan usaha bersepadu kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan serta pasukan perundangan negara yang bertindak tegas, profesional dan konsisten hingga peringkat antarabangsa,” katanya.

Arthur (BN-Sook) berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 Sabah pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini pada Isnin.

Pada 9 Disember, Mahkamah Rayuan Paris membatalkan sepenuhnya Award Akhir membabitkan pampasan bernilai AS$14.9 bilion.

Keputusan mahkamah yang dikeluarkan pada Selasa lepas, memutuskan bahawa penimbang tara Gonzalo Stampa tidak mempunyai bidang kuasa selain ketiadaan perjanjian timbang tara sah yang mengikat Malaysia dengan prosiding tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said pula menyifatkan kemenangan itu bukan sahaja kejayaan undang-undang, malah kemenangan maruah, kedaulatan dan hak seluruh rakyat Malaysia terutama rakyat Sabah.

Beliau berkata, ia adalah kemenangan besar kepada negara.

Artikel Berkaitan:

War Room Sekretariat Khas Sulu yang bertindak bagi pihak Kerajaan Malaysia mengesahkan keputusan Mahkamah Rayuan Paris disampaikan pada 9 Disember, dan kerajaan menerima penghakiman rasmi berkenaan pada awal pagi Rabu lepas.

Mahkamah mendapati Stampa tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan ‘Award Akhir’ itu kerana tiada perjanjian timbang tara yang sah mengikat Malaysia. - Bernama

Ringkasan AI

  • Keputusan Mahkamah Rayuan Paris membatalkan sepenuhnya Award Akhir dalam tuntutan pihak mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu
  • Ini membuktikan kerjasama erat antara kerajaan Sabah dan Persekutuan serta ketegasan pasukan perundangan
  • Pembatalan ini melindungi kedaulatan undang-undang, kepentingan ekonomi, dan aset strategik Malaysia
  • Mahkamah mendapati penimbang tara tidak memiliki bidang kuasa dan tiada perjanjian timbang tara sah mengikat Malaysia
  • Kemenangan ini dianggap sebagai pertahanan maruah, kedaulatan, dan hak rakyat Malaysia, khususnya di Sabah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!