Mahkamah Paris batalkan tuntutan Sulu, sahkan Sabah bukan aset komersial

KOTA KINABALU – Keputusan Mahkamah Rayuan Paris yang membatalkan 'Award Akhir' berhubung tuntutan kumpulan yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu mengesahkan bahawa Sabah bukan aset komersial yang boleh dipertikaikan melalui timbang tara persendirian atau asing.
Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengalu-alukan keputusan tersebut yang sebelum ini menuntut sebanyak AS$14.9 bilion terhadap Malaysia.
"Keputusan ini menamatkan secara jelas tuntutan yang salah dan tidak sah oleh individu yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu yang telah lama dibubarkan.
"Kedudukan Sabah dilindungi dengan kukuh oleh Perlembagaan Persekutuan serta Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Kenyataan itu merujuk kepada keputusan mahkamah yang membatalkan sepenuhnya 'Award Akhir' yang dikeluarkan oleh penimbang tara Gonzalo Stampa pada 28 Februari lalu.
Bekas Ketua Menteri Sabah itu turut mengambil maklum pendirian Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) yang menegaskan bahawa perkara melibatkan wilayah dan kedudukan perlembagaan Sabah tidak boleh diputuskan melalui proses luaran yang tidak dibenarkan.
"Rakyat Sabah akan mengingati bahawa kedaulatan Malaysia ke atas Sipadan dan Ligitan telah disahkan melalui prosiding di Mahkamah Keadilan Antarabangsa, berdasarkan undang-undang antarabangsa yang diiktiraf.
"Pada tempoh tersebut, saya merupakan sebahagian daripada kepimpinan Persekutuan dan terlibat secara langsung dalam urusan berkaitan kepentingan wilayah Sabah.
"Ini mencerminkan prinsip yang telah lama dipegang bahawa kedaulatan mesti dipertahankan melalui saluran undang-undang dan perlembagaan yang sah," katanya.
Sehubungan itu, Mohd Shafie menegaskan bahawa keputusan mahkamah tersebut amat bermakna ketika Sabah memperingati 62 tahun penyertaannya bersama Sarawak, Singapura dan Tanah Melayu untuk membentuk Malaysia.
"Malaysia dibentuk melalui suatu perjanjian perlembagaan yang serius antara rakan-rakan yang setara, dan kedaulatan Sabah tidak pernah diserahkan untuk dipersoalkan oleh pihak luar.
"Saya memberikan komitmen yang jelas kepada rakyat Sabah bahawa saya akan terus mempertahankan kedaulatan dan kedudukan perlembagaan Sabah dalam Malaysia.
"Bersama Warisan, kami akan bekerja tanpa jemu, menggunakan kaedah yang sah di sisi undang-undang dan perlembagaan bagi mempertahankan hak-hak Sabah," katanya.
Tegasnya lagi, usaha mempertahankan Sabah tidak boleh dilakukan secara terpilih.
"Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) mesti dilaksanakan sepenuhnya dan dengan jujur, tanpa sebarang kelewatan lagi. Ini termasuk hak perlembagaan Sabah untuk menerima 40 peratus daripada hasil bersih Persekutuan yang diperoleh daripada negeri ini.
"Kegagalan untuk menghormati dan melaksanakan MA63 secara penuh dan konsisten akan melemahkan kedudukan Sabah serta membuka ruang kepada pihak luar untuk mempersoalkan statusnya.
"Pertahanan terbaik terhadap tuntutan sedemikian ialah keadilan, kejelasan dan rasa hormat dalam hubungan antara Persekutuan dan negeri.
"Hanya dengan mematuhi dan melaksanakan MA63 sepenuhnya, kedaulatan Sabah dapat dilindungi, maruahnya dipertahankan dan kedudukannya dalam Malaysia dipastikan tanpa sebarang keraguan untuk generasi akan datang," katanya.
Ringkasan AI
- Keputusan Mahkamah Rayuan Paris membatalkan tuntutan waris Kesultanan Sulu, mengesahkan Sabah bukan aset komersial dipertikaikan secara persendirian
- Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengalu-alukan keputusan ini yang menuntut AS$14.9 bilion terhadap Malaysia
- Kedudukan Sabah dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963
- Mahkamah membatalkan 'Award Akhir' yang dikeluarkan oleh Gonzalo Stampa pada 28 Februari lalu
- Mohd Shafie berkomitmen mempertahankan kedaulatan dan kedudukan perlembagaan Sabah dalam Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
