Kedaulatan negara tertegak di Perancis

Laporan Sinar Harian pada Rabu mengenai Mahkamah Rayuan Paris yang membatalkan tuntutan AS$14.9 bilion oleh waris Kesultanan Sulu terhadap Malaysia.
Laporan Sinar Harian pada Rabu mengenai Mahkamah Rayuan Paris yang membatalkan tuntutan AS$14.9 bilion oleh waris Kesultanan Sulu terhadap Malaysia.
A
A
A

KEPUTUSAN Mahkamah Rayuan Paris yang membatalkan tuntutan AS$14.9 bilion oleh waris Kesultanan Sulu terhadap Malaysia menjadi titik penting dalam sejarah undang‑undang dan kedaulatan negara.

Mahkamah turut memerintahkan waris berkenaan membayar €200,000 atau kira-kira RM1.02 juta sebagai kos prosiding kepada kerajaan Malaysia, menandakan pengakhiran prosiding yang selama ini menghantui pemikiran ramai rakyat.

Bagi ramai, angka wang tuntutan itu memang mengejutkan. Namun, di sebalik angka dan prosiding antarabangsa, keputusan ini lebih daripada sekadar soal kewangan.

Ia membabitkan maruah, kedaulatan dan hak Malaysia khususnya rakyat Sabah yang sejak dahulu sering diangkat sebagai simbol kedaulatan Malaysia di Borneo.

Pertikaian ini bermula daripada perjanjian 1878 antara Kesultanan Sulu dan penjajah Eropah. Perjanjian itu memberi imbuhan tahunan kepada Sulu bagi kawasan yang kini dikenali sebagai Sabah.

Malaysia, selepas merdeka mengekalkan pembayaran ini tetapi menghentikannya pada 2013 selepas berlaku insiden pencerobohan bersenjata oleh pihak Sulu.

Pada tahun 2022, proses arbitrasi awal memihak kepada waris Sulu, memerintahkan Malaysia membayar AS$14.9 bilion namun Malaysia menolak keputusan itu dan memulakan proses pembatalan di Perancis.

Pemeriksaan mahkamah mendapati arbitrator, Gonzalo Stampa tidak mempunyai bidang kuasa sah, sekali gus membuka jalan kepada pembatalan keputusan arbitrasi tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said yang mengetuai Sulu Special Secretariat War Room menegaskan kemenangan itu membuktikan komitmen kerajaan dan pasukannya mempertahankan negara berdasarkan prinsip serta kedaulatan undang‑undang.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, kemenangan itu bukan sahaja penting dari segi undang‑undang tetapi juga mengukuhkan maruah, kedaulatan dan hak rakyat Malaysia khususnya rakyat Sabah.

Bagi rakyat Malaysia, keputusan itu memberikan legasi keyakinan bahawa kerajaan mampu mempertahankan negara dari tekanan luar, walaupun di pentas antarabangsa.

Dalam suasana politik dan media yang kerap menonjolkan isu konflik dan tuntutan besar, keputusan mahkamah ini memberi ketenangan kepada rakyat di Sabah yang selama ini menjadi 'mata angin' dalam pertikaian sejarah ini.

Keputusan mahkamah menekankan prinsip bahawa proses timbang tara antarabangsa memerlukan asas undang‑undang yang sah. Arbitrator yang bertindak di luar bidang kuasa tidak akan diiktiraf.

Ia menjadi pengajaran penting bagi negara lain dan rakyat Malaysia bahawa hak kedaulatan dan kontrak sah tidak boleh dipermainkan oleh prosiding yang tidak sah.

Dari segi politik, keputusan ini menamatkan polemik yang berlarutan sejak beberapa tahun lalu. Malaysia kini mampu menumpukan perhatian kepada pembangunan domestik dan hubungan diplomatik tanpa gangguan kewangan besar.

Jika tuntutan AS$14.9 bilion atau sekitar RM 72.27 bilion diterima, implikasinya terhadap ekonomi negara adalah besar termasuk tekanan fiskal dan kemungkinan gangguan terhadap pelaburan asing.

Keputusan mahkamah Perancis bukan sekadar kemenangan undang‑undang. Ia adalah simbol ketahanan negara, bukti Malaysia mampu mempertahankan kedaulatan dan hak rakyatnya.

Ia juga mengingatkan kita dalam dunia yang kompleks, perjuangan mempertahankan hak dan maruah memerlukan ketekunan, strategi dan kesabaran.

Bagi rakyat Sabah dan Malaysia, keputusan ini membawa kelegaan, tuntutan luar negara yang membebankan akhirnya diselesaikan dan hak kedaulatan negara terpelihara.

Dalam konteks sejarah, diplomasi dan undang‑undang, ini kejayaan yang harus diraikan bersama, bukan hanya sebagai kemenangan kerajaan tetapi sebagai kemenangan rakyat Malaysia.

*Tuan Buqhairah Tuan Muhamad Adnan ialah wartawan Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!