Batal 'Award Akhir': Keputusan Mahkamah Rayuan Paris bukti pendirian Sabah - Hajiji

KOTA KINABALU - Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan Paris untuk membatalkan ‘Award Akhir’ bernilai AS$14.9 bilion yang dikemukakan pihak menggelarkan diri mereka sebagai penuntut Sulu sebagai satu keputusan muktamad dan kemenangan besar bagi Malaysia.
Beliau menegaskan bahawa Sabah sentiasa konsisten dalam mempertahankan kedudukannya serta tidak pernah berkompromi terhadap tuntutan tidak berasas itu.
"Saya menyatakan sebelum ini, kita akan mempertahankan kedaulatan Sabah dalam Persekutuan Malaysia, dan kita tidak akan sesekali melayan tuntutan sedemikian.
"Keputusan Mahkamah Rayuan Paris pada 9 Disember lalu sekali lagi membuktikan pendirian Sabah selama ini," katanya sebagai reaksi berhubung kenyataan Bilik Gerakan Sekretariat Khas Sulu yang bertindak bagi pihak Kerajaan Malaysia.
Mahkamah Rayuan Paris memutuskan bahawa pemegang timbang tara, Gonzalo Stampa, tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan 'Award Akhir' tersebut dan mendapati tiada perjanjian timbang tara yang sah mengikat Malaysia.
Beliau berkata, kerajaan Sabah menegaskan semula komitmennya untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam membatalkan sebarang tuntutan pada masa hadapan.
"Kami juga mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas usaha gigih mereka dalam mempertahankan kedaulatan Sabah," katanya.
Ringkasan AI
- Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan keputusan Mahkamah Rayuan Paris membatalkan award AS$14.9 bilion kepada penuntut Sulu sebagai kemenangan besar untuk Malaysia
- Sabah konsisten dalam mempertahankan kedudukan dan tidak berkompromi terhadap tuntutan tidak berasas
- Keputusan mahkamah memperkuatkan pendirian Sabah untuk mempertahankan kedaulatannya dalam Persekutuan Malaysia
- Mahkamah Rayuan Paris mendapati tiada perjanjian timbang tara sah yang mengikat Malaysia
- Kerajaan Sabah berkomitmen bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk membatalkan sebarang tuntutan pada masa hadapan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
