Mahkamah Paris batalkan 'Award Akhir' kes Sulu, Malaysia peroleh kemenangan besar

Azalina dan kenyataan media War Room Sekretariat Khas Sulu.
Azalina dan kenyataan media War Room Sekretariat Khas Sulu.
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia mencatat kemenangan besar apabila Mahkamah Rayuan Paris membatalkan sepenuhnya 'Award Akhir' yang dikeluarkan oleh penimbang tara Gonzalo Stampa pada 28 Februari lalu dan mengarahkan penuntut Sulu membayar kos berjumlah €200,000 (kira-kira RM959,180) kepada negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dalam kenyataan menyifatkan kemenangan itu bukan sahaja kejayaan undang-undang, tetapi kemenangan maruah, kedaulatan dan hak seluruh rakyat Malaysia terutamanya Sabah.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua agensi dalam kerajaan yang berganding bahu melaksanakan amanah tersebut demi kepentingan rakyat dan negara.

"Ia membuktikan iltizam #KerajaanMadani mempertahankan negara dengan berprinsip dan berpaksikan undang-undang," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Terdahulu, War Room Sekretariat Khas Sulu yang bertindak bagi pihak kerajaan Malaysia mengesahkan keputusan Mahkamah Rayuan Paris disampaikan pada Selasa dan kerajaan menerima penghakiman rasmi berkenaan pada awal pagi Rabu.

Mahkamah mendapati Stampa tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan 'Award Akhir' itu kerana tiada perjanjian timbang tara yang sah mengikat Malaysia.

"Malaysia yakin kemenangan ini akan menamatkan semua cubaan tidak berasas daripada penuntut Sulu (serta pembiaya litigasi mereka, Therium) untuk memeras wang dan aset daripada rakyat Malaysia.

"Malaysia akan terus mempertahankan dirinya terhadap sebarang tindakan undang-undang selanjutnya yang difailkan oleh penuntut Sulu," katanya menerusi satu kenyataan.

Tambah kenyataan itu, Mahkamah Rayuan Paris sebelum ini telah menolak pengiktirafan dan pelaksanaan 'Partial Award' pada 6 Jun 2023 dan Mahkamah Agung Perancis mengekalkan keputusan tersebut pada 6 November 2024.

Artikel Berkaitan:

Kenyataan itu memaklumkan bahawa kerajaan Malaysia terus komited mempertahankan kedaulatan, imuniti dan kepentingan negara daripada tuntutan tidak berasas itu.

Sebelum ini, lapan warga Filipina yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu yang sudah tidak wujud telah memfailkan prosiding timbang tara di Sepanyol bagi menuntut berbilion dolar daripada Malaysia berhubung isu membabitkan Sabah.

Pada Mac 2019 sebuah mahkamah di Madrid telah melantik Dr Gonzalo Stampa sebagai penimbang tara bagi kes itu.

Pada 28 Februari 2022, Stampa membuat keputusan yang memihak kepada kumpulan itu dan mengeluarkan Award Akhir sebanyak AS$14.9 bilion, namun ia merupakan hasil daripada timbang tara yang tidak sah kerana pelantikan beliau sebagai penimbang tara telah dibatalkan terlebih dahulu oleh Mahkamah Sepanyol.

Pembatalan pelantikan kehakiman Gonzalo Stampa sebagai penimbang tara dalam kes Sulu dibuat Mahkamah Tinggi Keadilan Madrid pada 2021.

Ringkasan AI

  • Mahkamah Rayuan Paris membatalkan sepenuhnya Award Akhir oleh Gonzalo Stampa dan mengarahkan penuntut Sulu membayar kos kepada Malaysia
  • Kemenangan ini dilihat sebagai kejayaan maruah, kedaulatan dan hak semua rakyat Malaysia terutamanya di Sabah
  • Malaysia menafikan Stampa mempunyai kuasa mengeluarkan Award Akhir kerana tiada perjanjian timbang tara yang sah
  • Mahkamah Rayuan Paris dan Mahkamah Agung Perancis menolak dan mengekalkan keputusan menentang pengiktirafan Award terhadap Malaysia
  • Lapan warga Filipina mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu telah memfailkan prosiding timbang tara di Sepanyol terhadap Malaysia berhubung isu Sabah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!