Award Akhir dibatalkan, ancaman Sabah belum tamat

KOTA KINABALU - Keputusan Mahkamah Rayuan Paris membatalkan sepenuhnya 'Award Akhir' yang dikeluarkan penimbang tara Gonzalo Stampa pada 28 Februari lalu bukan bermaksud ancaman terhadap Sabah telah berakhir.
Perkara itu ditegaskan Penasihat Pertubuhan Pencegahan Dadah dan Jenayah Sabah (PPDJS), Mohd Zaki Harry Susanto yang menekankan, keselamatan Sabah tidak boleh dianggap remeh meskipun Malaysia kini dibersihkan sepenuhnya daripada tuntutan timbang tara tidak sah itu.
Menurutnya, penuntut Sulu turut diarahkan membayar kos berjumlah €200,000 (kira-kira RM959,180) kepada negara, episod tersebut tetap menjadi amaran keras bahawa keselamatan Sabah.
"Ini kemenangan dari sudut undang-undang. Namun dari sudut keselamatan, geopolitik dan ancaman kedaulatan, ia tidak pernah berakhir.
"Kita tidak boleh leka," katanya mengulas mengenai perkembangan terbaharu berhubung tuntutan terhadap Malaysia itu.
Menurut Mohd Zaki, apa yang lebih penting difahami ketika ini ialah kejayaan Malaysia di mahkamah luar negara tidak mengubah hakikat bahawa kerajaan Filipina tidak pernah secara rasmi menggugurkan tuntutan sejarah mereka terhadap Sabah.
Katanya, ini sekali gus menjadikan isu tersebut masih hidup dan berpotensi dimanipulasi pada bila-bila masa.
"Selagi Manila tidak membuat pendirian muktamad, Sabah tetap berdepan 'imminent threats', bukan hanya dari aspek tuntutan diplomatik tetapi juga risiko eksploitasi oleh pihak berkepentingan termasuk kumpulan tidak bertanggungjawab," katanya.
Beliau berkata, sejarah pencerobohan Lahad Datu perlu menjadi pengajaran bahawa ancaman tidak semestinya bermula melalui saluran rasmi sebaliknya sering dimulakan melalui unsur provokasi, propaganda atau gerakan kecil yang dilihat remeh pada peringkat awal.
"Saya percaya Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) tidak memandang perkara ini sebelah mata.
"Apa yang berlaku di peringkat antarabangsa boleh mencetuskan gelombang tindak balas di lapangan terutama di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) yang menjadi pintu masuk paling dekat dan paling terdedah," katanya.
Mohd Zaki menambah, pihak berkuasa perlu memperkukuh risikan, kawalan maritim dan pemantauan rangkaian sosial bagi mengesan sebarang pergerakan mencurigakan, termasuk usaha pihak tertentu menghidupkan kembali sentimen tuntutan ke atas Sabah.
"Kita tidak boleh menunggu isyarat jelas untuk bertindak. Jika negara lain boleh menggunakan saluran undang-undang untuk menekan Malaysia, bayangkan apa yang boleh dilakukan oleh elemen lain yang lebih ekstrem dan tidak terikat kepada protokol diplomatik," katanya.
Sehubungan itu, beliau sekali lagi menegaskan bahawa kemenangan Malaysia di Paris ialah perkembangan positif, tetapi bukan lesen untuk berasa selesa atau menganggap Sabah kini bebas daripada risiko geopolitik yang telah lama membayangi negeri itu.
"Kesimpulannya, Malaysia mungkin ‘menang’ melawan Sulu di mahkamah tetapi dari sudut keselamatan Sabah, kita belum menang apa-apa.
"Kita perlu memperkukuh pertahanan negara kerana potensi ancaman boleh berlaku dalam situasi di luar jangka," tegasnya.
Ringkasan AI
- Mahkamah Rayuan Paris membatalkan sepenuhnya 'Award Akhir' penimbang tara ke atas Malaysia tetapi ini tidak menghapuskan ancaman terhadap Sabah
- Penuntut Sulu diarahkan membayar kos €200,000 kepada Malaysia tetapi isu kedaulatan Sabah masih belum selesai kerana Filipina belum menggugurkan tuntutan sejarahnya
- Ancaman terhadap Sabah tidak semestinya datang melalui saluran rasmi, sering dimulakan dengan provokasi atau propaganda
- Pihak berkuasa Malaysia perlu memperkukuh risikan dan kawalan maritim untuk mengesan sebarang pergerakan mencurigakan
- Kemenangan di mahkamah adalah perkembangan positif tetapi bukan bererti Sabah sudah bebas dari risiko geopolitik
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

