Pameran rangka Gajah Asia pertama di Muzium Negeri Terengganu

KUALA TERENGGANU – Rangka Gajah Asia (Elephas maximus) yang berjaya dibentuk semula hasil Bengkel Kurasi Tulang Gajah bakal menjadi antara ikon baharu yang akan dipamerkan di Galeri Ilmu Kejadian, Muzium Negeri Terengganu.
Pengarah Muzium Negeri Terengganu, Mohd Iskandar Muhammad Aziz berkata, bengkel berkenaan telah diadakan pada 1 hingga 4 Disember lalu dengan kerjasama Muzium Alam Semulajadi, Kuala Lumpur dan Bahagian Sumber Alam, Muzium Negeri Terengganu.
Menurutnya, spesimen rangka gajah itu berjaya dibentuk semula walaupun hanya lebih 110 tulang berjaya ditemui, sedangkan kebiasaannya rangka gajah Asia lengkap terdiri daripada 326 hingga 351 tulang.
"Spesimen ini dipercayai daripada gajah jantan dan dianggarkan berusia sekitar lima hingga 10 tahun berdasarkan keadaan gading yang belum tumbuh serta gigi yang masih belum gugur.
"Hipotesis awal mendapati gajah ini mati akibat sakit secara semula jadi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Ahad.
Beliau berkata, gajah berkenaan ditemui mati berhampiran jalan di kawasan Hutan Simpan Kampung Pasir Raja, Dungun pada 8 April 2010.
Jelasnya, perolehan koleksi tulang tersebut telah dimaklumkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu manakala ia direkodkan secara rasmi sebagai koleksi Lembaga Muzium Negeri Terengganu.

Mengulas mengenai cabaran proses pemulihan rangka, Mohd Iskandar berkata, kesukaran utama adalah jumlah tulang yang ditemui tidak mencukupi sehingga memerlukan pembuatan replika bagi menggantikan tulang yang hilang.
Selain itu katanya, saiz tulang gajah yang besar dan berat turut memberikan cabaran ketika proses pemasangan rangka.
"Proses penyediaan rangka dimulakan dengan rujukan ilmiah bagi menentukan gambaran dan kedudukan tulang sebelum pembersihan dilakukan.
"Kami memilih untuk mengekalkan warna asal tulang supaya kelihatan lebih realistik. Kolaborasi bersama Muzium Alam Semulajadi, Kuala Lumpur ini berjaya menghasilkan koleksi rangka tulang gajah pertama di Terengganu," ujarnya.
Menurutnya, secara keseluruhan kira-kira 90 peratus tulang yang membentuk rangka tersebut adalah tulang asli, manakala selebihnya merupakan replika yang dihasilkan tanpa rujukan tulang sebenar, sekali gus menambah tahap kesukaran kerja.
Mohd Iskandar berkata, pameran rangka gajah itu juga bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemuliharaan gajah Asia yang kini dikategorikan sebagai spesies terancam.
"Koleksi ini diharap dapat menjadi tarikan baharu di samping medium pendidikan kepada masyarakat mengenai keistimewaan gajah, ancaman yang dihadapi serta langkah pemuliharaan yang perlu diambil.
"Gajah juga merupakan spesies yang tidak boleh diimport dan dieksport kecuali untuk tujuan penyelidikan atau pertukaran zoo di bawah Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 [Akta 686] serta disenaraikan di bawah Appendix I, Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora (CITES)," jelas beliau.
Tambah beliau lagi, gajah juga dikategorikan sebagai hidupan liar yang terancam dalam Red List, International Union for Conservation of Nature (IUCN) dan dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] di Semenanjung Malaysia.
"Hari Gajah Sedunia atau World Elephant Day disambut pada 12 Ogos setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran masyarakat dunia tentang kepentingan pemuliharaan dan perlindungan spesies gajah serta ancaman yang dihadapi," katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan Galeri Ilmu Kejadian akan melalui fasa penambahbaikan dengan wajah baharu bermula tahun hadapan dan pelancaran rasmi hanya akan dibuat selepas kerja-kerja tersebut siap sepenuhnya.
"Buat masa ini, koleksi ini masih belum dipamerkan dan tempoh penambahbaikan galeri masih belum dapat dipastikan, mungkin akan dibuka kepada pengunjung pada 2027," katanya.
Ringkasan AI
- Rangka Gajah Asia akan dipamerkan di Galeri Ilmu Kejadian, Muzium Negeri Terengganu sebagai ikon baharu
- Bengkel Kurasi Tulang Gajah diadakan dengan kerjasama Muzium Alam Semulajadi, Kuala Lumpur dan Bahagian Sumber Alam, Muzium Negeri Terengganu
- Lebih 110 tulang gajah berjaya ditemui dan dibentuk semula walaupun rangka gajah Asia lengkap terdiri daripada 326 hingga 351 tulang
- Kesukaran utama dalam proses pemulihan rangka adalah jumlah tulang yang tidak mencukupi dan saiz tulang gajah yang besar
- Pameran bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemuliharaan gajah Asia yang dikategorikan sebagai spesies terancam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
