50 wanita termasuk Orang Asli dilantik promosi kempen kesedaran kanser serviks

Abdul Shukur berbual bersama peserta Orang Asli sempena pelancaran Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Serviks 2026 Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Serbaguna, Kelab Kilat Kenyir, TNB Residensi di Hulu Terengganu pada Sabtu.
Abdul Shukur berbual bersama peserta Orang Asli sempena pelancaran Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Serviks 2026 Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Serbaguna, Kelab Kilat Kenyir, TNB Residensi di Hulu Terengganu pada Sabtu.
A
A
A

HULU TERENGGANU – [DIKEMAS KINI] Seramai 50 wanita termasuk Orang Asli akan dilantik dan dilatih sebagai duta etnik bagi memperluas kempen kesedaran kanser serviks khususnya dalam kalangan komuniti luar bandar dan kawasan pedalaman yang masih sukar mendapatkan akses maklumat serta perkhidmatan kesihatan.

Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Abdul Shukur Abdullah berkata, pendekatan baharu itu akan dilaksanakan mulai tahun 2026 menerusi konsep pemerkasaan komuniti dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi berkaitan.

Menurutnya, pemilihan duta etnik dibuat dalam kalangan individu yang berpengaruh dalam komuniti masing-masing termasuk pemimpin setempat, mereka yang mempunyai tahap pendidikan lebih baik, aktif di media sosial serta dihormati masyarakat.

"Duta ini akan dilatih dan diperkasakan dengan pengetahuan berkaitan kanser serviks, termasuk kaedah pengambilan sampel ujian HPV DNA secara kendiri, sebelum menyampaikan maklumat menggunakan pendekatan dan bahasa komuniti sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan perasmian Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Serviks 2026 Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Serbaguna, Kelab Kilat Kenyir, TNB Residensi di sini pada Sabtu.

Abdul Shukur berkata, sebagai permulaan, seorang duta etnik daripada komuniti Orang Asli Semaq Beri di Sungai Berua serta tiga wakil komuniti lain dikenal pasti untuk melaksanakan sekurang-kurangnya lima sesi kesedaran dalam komuniti masing-masing.

Katanya, pendekatan kolaboratif itu diharap dapat membina kepercayaan komuniti terhadap mesej kesihatan serta melahirkan agen perubahan yang berkesan dalam usaha mencapai eliminasi kanser serviks di negara ini.

Dalam pada itu, katanya, bulan Januari yang diiktiraf sebagai Bulan Kesedaran Kanser Serviks bukan sekadar sambutan tahunan sebaliknya merupakan platform penting untuk mengingatkan wanita bahawa kanser serviks adalah penyakit yang boleh dicegah dan dirawat sekiranya dikesan awal.

"Di Malaysia kanser serviks kini berada di kedudukan keenam tertinggi berbanding tempat ketiga tertinggi sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Kedudukan ini menunjukkan penurunan berbanding tahun-tahun sebelumnya, namun, usaha pencegahan perlu dipertingkatkan agar lebih ramai wanita tampil menjalani saringan," ujar beliau.

Abdul Shukur (dua, kiri) menyempurnakan pelancaran Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Serviks 2026 Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Serbaguna, Kelab Kilat Kenyir, TNB Residensi di Hulu Terengganu pada Sabtu.
Abdul Shukur (dua, kiri) menyempurnakan pelancaran Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Serviks 2026 Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Serbaguna, Kelab Kilat Kenyir, TNB Residensi di Hulu Terengganu pada Sabtu.

Katanya lagi, sejak diperkenalkan pada 2019, Program Saringan Kanser Serviks melalui Ujian HPV DNA yang dilaksanakan secara percuma oleh LPPKN telah memanfaatkan hampir 200,000 wanita di seluruh negara.

Menurutnya, di Terengganu pula, seramai 5,679 wanita telah menjalani ujian tersebut dengan 237 kes positif HPV direkodkan, namun tiada kes pra kanser atau kanser serviks dilaporkan setakat ini.

"Jumlah itu sebenarnya dilihat masih rendah berbanding populasi sebenar, sekali gus menunjukkan keperluan mendesak untuk meningkatkan tahap kesedaran dan keberanian wanita, khususnya di luar bandar, untuk tampil menjalani saringan.

“Bagi tahun 2026, kuota saringan percuma untuk Terengganu disasarkan kepada sekurang-kurangnya 1,000 wanita dan fokus utama adalah komuniti Orang Asli serta kumpulan berisiko,” katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!