Lelaki cedera ditarik gajah ke dalam gaung

Mangsa yang cedera selepas ditarik gajah sehingga jatuh ke dalam gaung. Foto FB Ahli Parlimen Gerik
Mangsa yang cedera selepas ditarik gajah sehingga jatuh ke dalam gaung. Foto FB Ahli Parlimen Gerik
A
A
A

GERIK – Seorang lelaki Orang Asli cedera terjatuh ke dalam gaung selepas ditarik seekor gajah dalam kejadian di Jalan Kampung Pengkalan Permai, Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Air Banun di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 4.26 petang.

Menurutnya, siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 pagi ketika dua motosikal ditunggang dua lelaki Orang Asli bersama seorang pembonceng keluar mencari hasil hutan.

“Penunggang motosikal pertama, lelaki berusia 34 tahun yang berada di hadapan ternampak seekor gajah di tepi jalan lalu mengambil tindakan memecut laju dan berjaya melepasi haiwan tersebut.

“Bagaimanapun, motosikal kedua yang ditunggang lelaki berusia 30 tahun merupakan adik penunggang motosikal pertama bersama rakannya pembonceng tidak sempat melepasi gajah berkenaan dan berhenti bagi menyelamatkan diri,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Abdul Samad berkata, secara tiba-tiba gajah tersebut menarik penunggang motosikal kedua sehingga menyebabkan mangsa terjatuh ke dalam gaung manakala pembonceng sempat melarikan diri.

Katanya, mangsa yang terjatuh mengalami kecederaan di bahagian muka dan sakit badan, dirujuk ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut.

Jelasnya, penunggang motosikal pertama dan pembonceng motosikal kedua tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati ketika melalui kawasan RPS Air Banun, Gerik kerana berisiko terdapat hidupan liar melintas atau berada di atas jalan.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Seorang lelaki Orang Asli cedera selepas terjatuh ke dalam gaung apabila ditarik seekor gajah di Jalan Kampung Pengkalan Permai, RPS Air Banun, Gerik
  • Kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 pagi ketika dua motosikal yang ditunggang oleh dua lelaki Orang Asli keluar mencari hasil hutan
  • Penunggang motosikal pertama berjaya melepasi gajah tersebut manakala penunggang kedua ditarik gajah sehingga terjatuh ke dalam gaung
  • Mangsa yang terjatuh mengalami kecederaan pada bahagian muka dan sakit badan dirujuk ke Hospital Taiping
  • Polis menasihatkan pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati ketika melalui kawasan berkenaan kerana berisiko terdapat hidupan liar

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!