'Saya ingat perubahan biasa, rupanya kanser'

Harlina menunjukkan gambarnya ketika menerima rawatan di HKL selepas disahkan menghidap kanser serviks pada 2019.
Harlina menunjukkan gambarnya ketika menerima rawatan di HKL selepas disahkan menghidap kanser serviks pada 2019.
A
A
A

HULU TERENGGANU – "Saya ingatkan perubahan biasa, rupanya petanda kanser."

Itu detik hitam yang tidak pernah dilupakan oleh Harlina Nordin, 53, apabila disahkan menghidap kanser serviks tahap dua pada September 2019, sekali gus mengubah seluruh perjalanan hidupnya sebagai seorang isteri dan ibu kepada lima orang anak.

Suri rumah dari Kuala Nerus itu berkata, segalanya bermula apabila dia tidak mengalami haid selama hampir dua tahun ketika berusia 44 tahun sebelum mengalami pendarahan luar biasa pada usia 46 tahun, selain kegatalan berpanjangan yang tidak pernah dialami sebelum ini.

“Saya rasa pelik dan akhirnya buat pemeriksaan. Bila dirujuk kepada pakar di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), keputusan biopsi mengesahkan saya menghidap kanser.

Harlina tidak dapat melupakan detik hitam apabila disahkan menghidap kanser serviks tahap dua.
Harlina tidak dapat melupakan detik hitam apabila disahkan menghidap kanser serviks tahap dua.

“Waktu doktor beritahu saya hidap kanser tu, lutut saya menggigil. Saya menangis kerana langsung tak pernah terfikir menghidap kanser," katanya ketika ditemui Sinar Harian sempena Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Serviks 2026 Peringkat Negeri Terengganu di sini pada Sabtu.

Harlina berkata, dia menjalani pembedahan membuang rahim serta kedua-dua ovari pada 17 Oktober 2019 bagi mengelakkan sel kanser merebak, sekali gus memulakan kehidupan baharu tanpa rahim.

Ujian lebih berat menanti apabila dia terpaksa menjalani rawatan intensif termasuk 25 kali radioterapi, tujuh sesi kemoterapi serta dua kali 'brachytherapy' di Hospital Kuala Lumpur (HKL) bermula 26 Januari 2020.

Artikel Berkaitan:

"Rawatan itu memenatkan, tetapi saya kuatkan diri. Saya ambil masa kira-kira tiga bulan untuk benar-benar pulih.

"Saya bersyukur kerana sehingga kini saya disahkan bebas kanser dan masih menjalani rawatan susulan (TCA) di HSNZ," katanya yang kini memiliki dua orang cucu.

Lebih menyentuh hati, Harlina mengakui kekuatan terbesar yang membantunya bangkit adalah sokongan suami, Mohd Asri Muda, 57 yang merupakan seorang guru.

Harlina berkata, suaminya itu tidak pernah meninggalkannya walaupun berdepan dengan saat-saat sukar dalam kehidupan termasuk persepsi negatif daripada masyarakat.

"Orang selalu salah faham, kononnya bila isteri sakit kanser, suami akan tinggalkan. Hakikatnya suami saya sentiasa beri semangat dan tak pernah biarkan saya rasa bersendirian.

"Dia kata, saya tak perlu bergantung pada sesiapa kerana saya kuat. Syukurlah semua individu di sekeliling saya positif dan tidak putus memberi semangat untuk saya bangkit kembali,” ujarnya sebak.

Harlina turut berkongsi pengalaman pahit mereka yang lewat mengesan kanser ovari sehingga berada pada tahap empat, menyebabkan rawatan tidak lagi mampu menyelamatkan nyawa.

Sehubungan itu, katanya golongan wanita dinasihatkan supaya tidak memandang ringan pemeriksaan kesihatan terutama saringan awal kanser serviks.

Jelas beliau, kanser serviks merupakan kanser ketiga paling tinggi dalam kalangan wanita, namun boleh dicegah dan dirawat sekiranya dikesan pada peringkat awal melalui pemeriksaan berkala seperti pap smear atau ujian HPV DNA.

"Kanser serviks boleh disembuhkan jika dikesan awal. Jangan tunggu sakit teruk baru nak buat pemeriksaan. Jika berada pada tahap 1 atau 2, pembedahan masih boleh dijalankan.

"Jika sudah berada pada tahap 3 atau 4 rawatan pembedahan sudah tidak boleh dijalankan. Sayangi diri sendiri, dengar isyarat tubuh badan dan bertindak sebelum terlambat," katanya.

 

Ringkasan AI

  • Harlina Nordin disahkan menghidap kanser serviks tahap dua pada September 2019
  • Bermula tidak haid selama hampir dua tahun pada usia 44 sebelum mengalami pendarahan luar biasa dan kegatalan berpanjangan
  • Menjalani pembedahan membuang rahim dan kedua-dua ovari serta menjalani rawatan intensif termasuk radioterapi dan kemoterapi
  • Disahkan bebas kanser dan menjalani rawatan susulan di Hospital Sultanah Nur Zahirah
  • Mendapat sokongan kuat daripada suami, Mohd Asri Muda, dalam menghadapi penyakit ini

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!