Azman dakwa tuduhan rasuah sengaja dibuat untuk alih perhatian

Azman mendakwa pertuduhan ke atas dirinya mempunyai unsur campur tangan politik bagi menutup isu lain.
Azman mendakwa pertuduhan ke atas dirinya mempunyai unsur campur tangan politik bagi menutup isu lain.
A
A
A

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin selesai membayar ikat jamin RM75,000 selepas hampir empat jam didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas satu pertuduhan bersubahat dalam kes rasuah.

Bercakap pada sidang media selepas proses itu, Azman, 53, mendakwa pertuduhan terhadapnya sengaja dibuat bagi mengalihkan perhatian daripada kes-kes lain yang lebih besar, antaranya isu rakaman video 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.

Pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, ia termasuk pendakwaan kes rasuah membabitkan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

“Semua ini berlaku mungkin disebabkan teguran saya mengenai soalan di Parlimen baru-baru ini. Disebabkan perkara itu, saya dituduh dengan kes yang tidak berasas malah dalam kertas pertuduhan, tidak dinyatakan bahawa saya meminta mahupun menerima rasuah.

"Nampak wayang lebih, saya harap tiada pihak menggunakan kuasa untuk menekan orang lain tapi dalam masa sama, menggunakan kuasa untuk kepentingan peribadi,” katanya yang ditemani peguam, Afiq Nardin

Menurut Azman lagi, beliau yakin pertuduhan ke atas dirinya mempunyai unsur campur tangan politik bagi menutup isu lain.

Ditanya punca pertuduhan dibuat selepas lima tahun kesalahan didakwa dilakukan, Azman berkata, soalan tersebut sepatutnya diajukan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Itu kena tanya SPRM," katanya yang turut mengucapkan terima kasih kepada pengamal media yang menanti sejak jam 11 pagi, memandangkan proses pembayaran jaminan tersebut memakan masa agak lama.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada lima anak itu didakwa bersubahat dengan seorang ahli perniagaan, Amar Assuat Abu Bakar, 41, untuk melakukan kesalahan menerima suapan RM400,000 daripada seorang ahli perniagaan berusia 39 tahun.

Artikel Berkaitan:

Ia sebagai upah membantu lelaki itu mendapatkan Projek Usahasama Ternakan Lembu Pedaging Secara Fidlot di Ladang Fidlot Kedah Agro, Mukim Sungai Laka, Kubang Pasu, Kedah daripada Kedah Agro Holding Berhad (KAHB).

Kesalahan tersebut dilakukan hasil persubahatannya dengan mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif KAHB untuk mengeluarkan surat tawaran kepada lelaki itu bagi projek tersebut.

Kesalahan didakwa dilakukan di tepi jalan berhadapan pejabat sebuah syarikat di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi di sini, jam 5 petang 23 Jun 2020.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009, dibaca bersama Seksyen 16(a)(A) akta sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta serupa.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Tertuduh dibenarkan untuk diikat jamin sebanyak RM75,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan, menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, SPRM menahan ahli Parlimen terbabit Khamis lalu bagi siasatan kes usaha sama ternakan lembu milik kerajaan negeri sementara seorang ahli perniagaan telah ditahan pada Mac lalu, namun dilepaskan dengan jaminan.

Siasatan yang dijalankan sejak Februari, melibatkan dakwaan penerimaan wang ratusan ringgit sebagai balasan membantu mendapatkan hak penggunaan tanah untuk projek fidlot.

Ringkasan AI

  • Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam bersubahat dalam kes rasuah dan membayar ikat jamin RM75,000
  • Azman mendakwa pertuduhan dibuat untuk mengalih perhatian daripada isu lebih besar termasuk isu rakaman video ADUN Sabah dan kes rasuah bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri
  • Menurut Azman, pertuduhan terhadapnya mempunyai unsur campur tangan politik dan mendakwa tidak ada bukti yang menunjukkan dia meminta atau menerima rasuah
  • Didakwa bersubahat dengan seorang ahli perniagaan untuk menerima suapan RM400,000 sebagai upah membantu mendapatkan Projek Usahasama Ternakan Lembu Pedaging Secara Fidlot di Kedah
  • Sekiranya sabit kesalahan, Azman berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut yang lebih tinggi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!