Rasuah ternakan lembu: Ahli Parlimen Padang Serai, ahli perniagaan akan didakwa Isnin

Laporan Sinar Harian pada 5 Disember 2025. Gambar kecil: Azam
Laporan Sinar Harian pada 5 Disember 2025. Gambar kecil: Azam
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin dan seorang ahli perniagaan yang disiasat berhubung dakwaan rasuah berkaitan usaha sama penternakan lembu milik kerajaan negeri Kedah akan didakwa Isnin ini.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Shah Alam.

"SPRM telah mendapat izin mendakwa kedua-dua suspek berkenaan.

"Ahli Parlimen tersebut akan didakwa di bawah Seksyen 28 (1) (c) Akta SPRM 2009 dengan satu pertuduhan iaitu bersubahat menerima rasuah, manakala ahli perniagaan itu pula akan didakwa di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009 dengan dua pertuduhan iaitu meminta dan menerima rasuah," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan SPRM telah menahan ahli Parlimen terbabit Khamis lalu bagi tujuan pertuduhan yang melibatkan satu kes usaha sama ternakan lembu milik kerajaan negeri Kedah manakala ahli perniagaan tersebut telah ditangkap pada Mac lalu dan dilepaskan dengan jaminan.

Siasatan yang dijalankan sejak bulan Februari lalu melibatkan dakwaan penerimaan kira-kira RM400,000 sebagai balasan membantu mendapatkan hak penggunaan tanah untuk projek fidlot.

Sehubungan itu, kertas siasatan telah dibuka susulan aduan diterima pada 10 Februari 2025 dan siasatan telah dijalankan dengan 15 orang saksi telah dirakam percakapan.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin dan seorang ahli perniagaan akan didakwa berkaitan rasuah usaha sama penternakan lembu
  • Pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Shah Alam
  • Datuk Azman akan didakwa bersubahat menerima rasuah, manakala ahli perniagaan didakwa meminta dan menerima rasuah
  • Siasatan melibatkan dakwaan penerimaan kira-kira RM400,000 sebagai balasan membantu mendapatkan hak penggunaan tanah untuk projek fidlot
  • Siasatan yang dijalankan sejak Februari, melibatkan 15 orang saksi yang telah dirakam percakapan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!