Pertuduhan subahat babit Azman defektif - Peguam

Surendran (dua dari kanan) menemani Azman (dua dari kiri) ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Isnin bagi menghadapi satu pertuduhan bersubahat kes rasuah, lima tahun lalu.
Surendran (dua dari kanan) menemani Azman (dua dari kiri) ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Isnin bagi menghadapi satu pertuduhan bersubahat kes rasuah, lima tahun lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pasukan pembelaan kepada Ahli Parlimen Padang Serai memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin bahawa pertuduhan bersubahat dalam kes rasuah membabitkan projek penternakan lembu milik kerajaan negeri Kedah, yang dihadapi Datuk Azman Nasrudin, adalah defektif dan tidak berasas.

Semasa prosiding di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin, peguam N. Surendran yang mewakili Azman, 53, berkata selepas meneliti pertuduhan berkenaan, ia didapati tidak sah dari segi undang-undang dan bercampur aduk.

Beliau berkata perincian terhadap pertuduhan juga tidak menyatakan kesalahan yang dilakukan oleh pemimpin Bersatu berkenaan.

"Kami berpendapat berdasarkan pertuduhan, ia umpama dirangka, jadi tiada alasan untuk mengekalkannya.

"Susulan itu kami akan mencabar untuk membatalkan pertuduhan di Mahkamah Tinggi di sini," katanya yang hadir bersama peguam Nizamuddin Abdul Hamid, Sasha Lyna Abdul Latif dan Shahid Adli Kamarudin.

Dalam prosiding sama, beliau berkata pembelaan juga akan membuat rayuan supaya ahli politik Kedah itu tidak dikenakan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes berkenaan selesai.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada lima anak itu didakwa bersubahat dengan seorang ahli perniagaan, Amar Assuat Abu Bakar, 41, untuk melakukan kesalahan menerima satu suapan berjumlah RM400,000 daripada seorang ahli perniagaan berusia 39 tahun.

Ia sebagai upah membantu lelaki itu mendapatkan Projek Usahasama Ternakan Lembu Pedaging Secara Fidlot di Ladang Fidlot Kedah Agro, Mukim Sungai Laka, Kubang Pasu, Kedah daripada Kedah Agro Holding Berhad (KAHB).

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan hasil persubahatannya dengan mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif KAHB untuk mengeluarkan surat tawaran kepada lelaki itu bagi projek tersebut.

Artikel Berkaitan:

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi jalan berhadapan pejabat sebuah syarikat di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, di sini pada jam 5 petang, 23 Jun 2020.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, dibaca bersama Seksyen 16(a)(A) akta sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta tersebut.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muaz Ahmad Khairuddin dan Asmaa' Zamri.

Mahkamah membenarkan Azman dilepaskan dengan jaminan sebanyak RM75,000 dengan seorang penjamin serta memerintahkannya memenuhi syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 13 Januari 2026.

Ringkasan AI

  • Pasukan pembelaan mendakwa pertuduhan terhadap Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin, mengenai kes rasuah projek penternakan lembu adalah defektif dan bercampur aduk
  • Peguam N Surendran berpendapat pertuduhan tersebut tidak sah dari segi undang-undang dan tidak menyatakan kesalahan Azman dengan jelas
  • Pasukan pembelaan akan mencabar pertuduhan tersebut di Mahkamah Tinggi
  • Azman didakwa bersubahat menerima suapan RM400,000 untuk membantu mendapatkan projek ternakan lembu
  • Mahkamah membenarkan Azman dibebaskan dengan jaminan RM75,000 dan menyertakan syarat menyerahkan pasport

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!