Dakwa juga individu subahat sembunyi maklumat kematian Syamsul Haris - Peguam

 Allahyarham Syamsul Haris
Allahyarham Syamsul Haris
A
A
A

SHAH ALAM - Pihak pembelaan yang mewakili keluarga pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai menggesa mana-mana individu yang bersubahat menyembunyikan maklumat berkaitan kematian Syamsul Haris Shamsudin didakwa di mahkamah.

Peguam, Datuk Naran Singh berkata, pihak polis perlu meneruskan siasatan bagi mengenal pasti individu tersebut.

Menurutnya, satu jawatankuasa khas bagi menyiasat kemungkinan wujud ‘tangan ghaib’ yang menyorokkan maklumat sama juga perlu ditubuhkan.

“Jadi, jawatankuasa khas untuk menyiasat tangan ghaib ini perlu ditubuhkan segera seterusnya didakwa di mahkamah atas kesalahan bersubahat.

“Siapa yang memberi maklumat bercanggah kepada Menteri Pertahanan sehingga menyebabkan beliau membuat sidang akhbar dengan menyatakan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan sebelum ditemui meninggal dunia?” soalnya ketika dihubungi Sinar Harian.

Katanya, pegawai yang memberi maklumat salah kepada menteri sehingga menyebabkan mereka percaya tiada kecederaan terlibat dalam kematian mangsa perlu dipertanggungjawabkan.

Selain itu, beliau berkata, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad perlu mendapatkan penjelasan daripada dua pegawai perubatan yang menjalankan bedah siasat pertama terhadap jasad anak sulung daripada tiga beradik tersebut.

“Ini merupakan perkara yang serius dan kerajaan mesti menyiasat perkara yang berlaku,” katanya sebagai mengulas kenyataan pihak polis yang memaklumkan bahawa siasatan akan diteruskan bagi mengenal pasti individu yang terlibat berhubung kematian mangsa.

Jabatan Peguam Negara turut mengarahkan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Naran yang mewakili ibu arwah, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, mengucapkan terima kasih kepada Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet kerana membenarkan kubur Syamsul Haris digali semula sehingga membawa kepada penemuan hasil bedah siasat kedua.

“Kami juga berterima kasih kepada pasukan penyiasat baharu yang bertungkus-lumus meneliti kes ini.

“Kami juga menghargai maklumat yang diberikan seorang saksi yang mendedahkan kejadian menimpa Syamsul Haris kerana tanpa maklumat itu, usaha mencari keadilan tidak mungkin berjaya,” katanya.

Mangsa meninggal dunia ketika menjalani latihan di Pusat Latihan Darat (Pulada) Ulu Tiram pada 28 Julai lalu.

Pada 13 Ogos lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, berdasarkan siasatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), tiada unsur penderaan berlaku dalam kes berkenaan.

Katanya, semua saksi termasuk pegawai dan jurulatih yang terlibat dalam latihan itu menafikan berlakunya sebarang bentuk penderaan terhadap mangsa.

Bagaimanapun, pada 26 Ogos, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan kubur pelatih yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu di Semenyih, Selangor digali semula.

Hakim berkata, proses menggali semula kubur Syamsul Haris bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan dalam tempoh 14 hari selepas jasad dikeluarkan.

Selepas laporan bedah siasat daripada Hospital Kuala Lumpur (HKL) diperoleh pada 28 November, Naran berkata, bedah siasat kedua mendapati punca kematian adalah disebabkan kecederaan pada leher.

Katanya, terdapat beberapa kecederaan lain seperti melecet yang turut ditemukan pada jasad Allahyarham dalam proses bedah siasat kedua yang dijalankan pada 30 Ogos lalu.

Ringkasan AI

  • Pembelaan mendesak individu menyembunyikan maklumat kematian Syamsul Haris didakwa di mahkamah
  • Peguam meminta siasatan terus pada individu terlibat dan pembentukan jawatankuasa khas
  • Pegawai yang memberi maklumat salah kepada Menteri Pertahanan tentang keadaan mangsa diminta bertanggungjawab
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan sebagai kes bunuh
  • Bedah siasat kedua mendapati punca kematian adalah kecederaan pada leher

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!