Kes bunuh Syamsul Haris kini disiasat USJT Bukit Aman

Siasatan berhubung kematian kadet Palapes UTM Skudai, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22, kini diambil sepenuhnya oleh USJT Bukit Aman. Gambar kecil: Ab Rahaman
Siasatan berhubung kematian kadet Palapes UTM Skudai, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22, kini diambil sepenuhnya oleh USJT Bukit Aman. Gambar kecil: Ab Rahaman
A
A
A

JOHOR BAHRU – Siasatan berhubung kematian kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22, kini diambil sepenuhnya oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, susulan arahan terbaharu Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mengklasifikasikan semula kes berkenaan daripada mati mengejut kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Menurutnya, keputusan itu dilihat selari dengan kenyataan yang dikeluarkan Pengarah JSJ Bukit Aman semalam.

"Peguam Negara telah mengarahkan siasatan ini daripada mati mengejut kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana mati dibunuh.

"Siasatan ini dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman dan telah diambil alih sepenuhnya oleh pasukan tersebut, bukan lagi disiasat oleh Kontinjen Johor.

"Mengenai proses siasatan dan langkah seterusnya, saya tidak dapat memberikan butiran lengkap kerana ia berada di bawah bidang kuasa Bukit Aman,” katanya kepada pemberita pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan kes itu setelah menyempurnakan Majlis Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Johor di sini, pada Rabu.

Semalam, AGC mengarahkan kes kematian Allahyarham Syamsul Haris diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan setelah meneliti laporan siasatan yang dibuka Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sebelum ini, pada 28 Julai lalu, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, pada 27 Ogos, USJT, Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5) JSJ Bukit Aman mengambil alih sepenuhnya siasatan susulan perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membenarkan permohonan notis usul keluarga si mati untuk penggalian semula (exhumation) dan bedah siasat kali kedua.

 

Ringkasan AI

  • Siasatan kematian kadet PALAPES UTM, Syamsul Haris Shamsudin, diambil alih sepenuhnya oleh USJT JSJ Bukit Aman
  • Kes diklasifikasikan semula daripada mati mengejut kepada kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan
  • Arahan terbaharu ini dikeluarkan oleh Jabatan Peguam Negara
  • Kes sebelum ini disiasat oleh IPD Kota Tinggi sebelum diambil alih oleh USJT Bukit Aman
  • Siasatan berkenaan kematian menyebabkan permintaan untuk penggalian semula dan bedah siasat kali kedua diluluskan Mahkamah Tinggi Shah Alam

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!