UTM tidak kompromi, lindungi mana-mana pihak dalam kes kematian Syamsul Haris

JOHOR BAHRU – [DIKEMAS KINI] Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana individu yang didapati terlibat dalam kes kematian Allahyarham Syamsul Haris Shamsuddin.
UTM dalam satu kenyataan pada Rabu menyatakan kesediaan memberikan kerjasama kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membantu siasatan lanjut.
Jelas UTM, langkah tersebut susulan keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) mengklasifikasikan semula kes kematian Allahyarham Syamsul Haris sebagai kes bunuh.
“UTM sentiasa berpegang kepada prinsip ketelusan dan kedaulatan undang-undang, serta menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk melengkapkan siasatan bagi memastikan keadilan ditegakkan,” menurut kenyataan itu.
Universiti itu turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Syamsul Haris dan menasihatkan semua pihak, termasuk warga kampus serta orang awam, agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan yang sedang berlangsung.
Pada Selasa, Jabatan Peguam Negara (AGC), mengarahkan agar kes kematian ahli kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) itu diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) untuk siasatan lanjut oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
AGC memaklumkan keputusan itu dibuat selepas mendengar taklimat mengenai hasil laporan siasatan yang dibuka PDRM berhubung kematian Syamsul Haris.
"Setelah ditaklimatkan dan meneliti hasil Laporan Siasatan tersebut, jabatan telah mengarahkan kes kematian ini diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan [Akta 574] untuk siasatan selanjutnya oleh pihak PDRM," menurut AGC dalam satu kenyataan.
Syamsul Haris, 22, meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi, Johor pada 28 Julai selepas menjalani latihan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat di Ulu Tiram.
Ringkasan AI
- Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tidak akan melindungi individu terlibat dalam kes kematian Syamsul Haris Shamsuddin
- UTM bersedia bekerjasama dengan PDRM dan ATM untuk siasatan lanjut
- Kes kematian Syamsul Haris diklasifikasikan sebagai kes bunuh oleh AGC
- UTM berpegang kepada prinsip ketelusan dan kedaulatan undang-undang dalam kes ini
- UTM merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan menggesa tiada spekulasi yang mengganggu siasatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

