Polis fokus siasatan kenal pasti individu terlibat bunuh Syamsul Haris

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Polis meneruskan siasatan bagi mengenal pasti individu yang terlibat dalam kematian kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), selepas kes itu diklasifikasikan sebagai kes bunuh.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar S Muthuvelu berkata, hasil siasatan berkaitan kes Syamsul Haris Shamsudin telah dibentangkan kepada Jabatan Peguam Negara pada Selasa.
“Peguam Negara mengarahkan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Siasatan diteruskan untuk mengenal pasti individu yang terlibat atau bertanggungjawab ke atas kematian tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Kumar berkata, kertas siasatan dirujuk semula ke Jabatan Peguam Negara untuk arahan, selari dengan peruntukan Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.
“Masyarakat diingatkan agar tidak membuat spekulasi terhadap kes ini, sementara PDRM melengkapkan siasatan dan demi menghormati prinsip keadilan jenayah di negara ini,” katanya.
Pada 28 Julai lalu, kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan telah dimulakan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi, Johor.
Pada 27 Ogos lalu, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5), JSJ Bukit Aman telah mengambil alih sepenuhnya siasatan kes kematian tersebut.
Ia berikutan perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membenarkan permohonan notis usul keluarga si mati untuk penggalian semula (exhumation) dan bedah siasat kali kedua.
Ringkasan AI
- Polis Diraja Malaysia meneruskan siasatan kematian kadet Palapes UTM, Syamsul Haris Shamsudin sebagai kes bunuh Hasil siasatan telah dibentangkan kepada Jabatan Peguam Negara Peguam Negara mengarah siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan Kertas siasatan dirujuk semula ke Jabatan Peguam Negara menurut Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sebelum USJT Bukit Aman mengambil alih sepenuhnya siasatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
