Kuari Pasir Puteh lokasi panas, lori bawa lebih muatan bahayakan pengguna

Lima kes lori disita kerana muatan lebih hingga 50 peratus

Lori bawa muatan pasir berlebihan disita JPJ. - Gambar kecil (Mohd Misuari)
Lori bawa muatan pasir berlebihan disita JPJ. - Gambar kecil (Mohd Misuari)
A
A
A

KOTA BHARU — Kawasan kuari di Pasir Puteh dikenal pasti sebagai titik panas kes lori membawa muatan batu dan pasir melebihi had sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, pihaknya mengesan antaranya lori 32 tan yang beroperasi dengan muatan berlebihan termasuk kes melepasi 50 peratus daripada kapasiti dibenarkan.

“Banyak kes berlaku di Pasir Puteh. Lori kelihatan stabil tetapi membawa muatan berlebihan hingga 50 peratus dan ini memberikan risiko bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

“Beban berlebihan boleh mengganggu sistem brek, kawalan pemandu dan menyebabkan serpihan jatuh ke jalan,” katanya pada sidang akhbar selepas Lelongan Awam Kenderaan Sita Siri 2/2025 di JPJ Panji, di sini pada Ahad.

Menurut beliau, dalam Op Perang Lebih Muatan yang dijalankan bermula 14 Oktober hingga 27 November lalu, JPJ telah memeriksa 7,472 kenderaan dan mengambil tindakan terhadap 2,682 daripadanya.

Kesalahan melibatkan lebih muatan mencatatkan sebanyak 432 kes, manakala kesalahan teknikal menjadi yang tertinggi dengan 1,009 kes direkodkan.

“Lima lori disita sepanjang operasi selepas didapati membawa muatan melebihi 50 peratus.

“Lebih satu atau dua peratus pun sudah menjadi kesalahan. Bila melebihi sehingga 50 peratus, ia menjadi risiko bahaya yang serius,” tegasnya.

Tambah beliau, Op Perang Lebih Muatan akan diteruskan sehingga 31 Disember ini bagi mengambil tindakan tegas terhadap kenderaan perdagangan, khususnya lori yang membawa muatan melebihi had dibenarkan.

Artikel Berkaitan:

Selain batu dan pasir, muatan turut melibatkan tanah, kelapa sawit dan kayu balak.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan JPJ Kelantan telah merekodkan kutipan kompaun sebanyak RM9.22 juta dari Januari hingga 27 November lalu.

“Tawaran pengurangan kompaun sebanyak 50 peratus ini hanya berbaki sebulan lagi sehingga 31 Disember ini.

“Saya menyeru agar masyarakat yang mempunyai saman baharu atau tertunggak — yang tidak melibatkan kes mahkamah untuk merebut peluang ini,” katanya.

Ringkasan AI

  • Kawasan kuari di Pasir Puteh dikenali sebagai titik panas kes lori mengangkut muatan melebihi had
  • JPJ Kelantan mengesan lori 32 tan beroperasi melebihi muatan, termasuk kes melepasi 50 peratus kapasiti
  • Muatan berlebihan meningkatkan risiko bahaya dengan mengganggu sistem brek dan kawalan pemandu
  • Dalam Ops Perang Lebih Muatan, JPJ memeriksa 7,472 kenderaan dan mengambil tindakan terhadap 2,682, termasuk 432 kes lebih muatan
  • Op Perang Lebih Muatan akan diteruskan hingga 31 Disember untuk mengambil tindakan terhadap lori melebihi muatan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!