Mahkamah arah wanita miliki dua suami mufaraqah

KOTA BHARU - Mahkamah Tinggi Syariah Kelantan mengarahkan seorang wanita yang bernikah lelaki warga Pakistan ketika masih sah bergelar isteri menjalani mufaraqah bagi merungkai kekusutan status perkahwinannya.
Hakim Mohd Anwan Ab Muttalib mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan difailkan Pendaftar Kanan Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Islam Daerah Kota Bharu, Naim Md Ghazali
Menurut Naim, wanita itu Che Rosmizan telah berkahwin dengan suami pertamanya Rosman Yusof, 47, pada 22 September 2000 mengikut carian Sistem Maklumat Perkahwinan Islam (e-Nikah) dan hanya disahkan bercerai secara rasmi pada 14 Januari lalu di Mahkamah Syariah Bachok.
Katanya, sebelum perceraian dimuktamadkan, wanita berkenaan didapati telah melangsungkan pernikahan dengan lelaki warga Pakistan pada 8 Disember lalu di Mukim Bunut Payong.
"Ketika itu perkahwinan pertamanya masih sah di sisi undang-undang.
"Keadaan ini jelas bertentangan dengan hukum syarak kerana seorang wanita tidak dibenarkan mempunyai dua suami dalam satu masa.
"Selain menimbulkan kekeliruan terhadap rekod perkahwinan dan implikasi undang-undang,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Naim berkata, beliau telah memohon mahkamah mengeluarkan perintah mufaraqah atau apa-apa perintah lain yang difikirkan sesuai.
Katanya, tindakan itu bertujuan menyelesaikan status perkahwinan berkenaan mengikut hukum syarak dan undang-undang.
Sinar Harian melaporkan, seorang lelaki membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok pada Rabu lalu selepas mendakwa isterinya telah berkahwin dengan lelaki warga Pakistan ketika mereka masih sah sebagai suami isteri.
Perkara tersebut disahkan Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohd Ismail Jamaluddin ketika dihubungi pada Ahad.
Ringkasan AI
- Mahkamah Tinggi Syariah Kelantan mengarahkan seorang wanita menjalani mufaraqah kerana berkahwin dengan lelaki warga Pakistan sementara masih bergelar isteri kepada suami pertama
- Wanita tersebut, Che Rosmizan, berkahwin pada 22 September 2000 dengan Rosman Yusof dan bercerai pada 14 Januari lalu
- Sebelum perceraian dimuktamadkan, wanita itu sudah melangsungkan pernikahan dengan lelaki warga Pakistan pada 8 Disember
- Hakim Mohd Anwan Ab Muttalib mengeluarkan perintah mufaraqah selepas permohonan dibuat oleh Pendaftar Kanan Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Islam Daerah Kota Bharu
- Tindakan wanita tersebut bertentangan dengan hukum syarak yang tidak membenarkan seorang wanita memiliki dua suami dalam satu masa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

