Projek naik taraf laluan Ketereh-Pasir Puteh disambung 6km

BACHOK - Projek naik taraf laluan dari persimpangan Melor, Ketereh ke Kampung Pak Badol yang siap pada Jun lalu akan disambung lagi sepanjang enam kilometer (km) ke Pasir Puteh dalam tempoh terdekat, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata, kontraktor yang berjaya mendapatkan tender sudah menerima surat serah terima projek berkenaan.
"Berita baik bahawa projek laluan dari Persimpangan Melor, Ketereh ke Kampung Pak Badol ini akan disambung hingga ke Pasir Puteh dengan kos dianggarkan RM169 juta," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Projek Siap Menaiktaraf Laluan FT003 dari persimpangan Melor, Ketereh ke Kampung Pak Badol di sini pada Ahad.
Hadir sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Alexander memberitahu, sambungan laluan itu akan menjadi pemangkin sosioekonomi yang memberi manfaat kepada orang ramai khususnya penduduk negeri Kelantan.
Dalam pada itu, Alexander memuji kerja-kerja projek menaik taraf laluan persimpangan Melor - Ketereh ke Kampung Pak Badol yang dapat disiapkan tiga bulan lebih awal daripada tempoh dijadualkan sekali gus menjimatkan kos.
Jelas beliau, pembinaan laluan sepanjang 33km itu dapat dijimatkan hingga RM5 juta daripada kos keseluruhan iaitu RM195 juta.
"Jalan berkembar empat lorong yang mula dinaik taraf 3 November 2020 itu dapat meningkatkan tahap mobiliti dan penduduk kerana jumlah kenderaan meningkat setiap tahun.
"Jajaran FT003 ini juga menjadi penghubung antara bandar-bandar-bandar utama di Kelantan dan Terengganu," katanya.
Jelasnya lagi, skop utama projek berkenaan antara lain membabitkan naik taraf jambatan Sungai Melor, pembinaan jambatan baharu merentasi tali air di Kampung Mahligai dan pembinaan satu jejantas pejalan kaki serta pemasangan lampu jalan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
