'Bomba, adik terkapai-kapai, makin jauh ditelan ombak'

BACHOK - [DIKEMAS KINI] Ipar kepada dua mangsa lemas melihat adik-beradik itu terkapai-kapai semakin lama semakin jauh di telan ombak dalam tragedi perkelahan keluarga di Pantai Kandis, berdekatan muara Sungai Gali, di sini pada Selasa.
Tentera udara, Mohd Ezad Abu Hassan, 40, dapat menyelamatkan anaknya, Mohd Ali Al-Imran Mohd Ezad, 12, daripada lemas dalam kejadian itu selepas menarik kanak-kanak tersebut ke gigi pantai.
Dua iparnya, Ahmad Badrul Naim Ab Wahab, 32, dan, Ahmad Nurruddin, 21, bagaimanapun hilang dari pandangan.
Kata Mohd Ezad, pada mulanya, Ahmad Nurruddin dan Mohd Ali Al-Imran yang sedang mandi dalam jarak dekat di pantai berkenaan tiba-tiba terkapai-kapai dan menjerit minta tolong.
“Saya dan Ahmad Badrul Naim pergi nak selamatkan mereka dan masa itu saya tarik Mohd Ali Al-Imran, kami juga tenggelam dalam paluh tetapi dapat naik semula ke darat.
“Ipar saya iaitu dua beradik tersebut pula makin lama makin jauh dan hilang dalam ombak,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini pada Selasa.
Mohd Ezad yang bertugas di Butterworth, Pulau Pinang, tiba bersama isteri dan empat anaknya untuk bercuti di rumah mentua di Pasir Puteh.
Ahmad Badrul Naim pula anggota bomba dari Unit Storm dan Hazmat yang bertugas di Bayan Baru, Pulau Pinang.
Ahmad Badrul Naim yang tinggal di Kedah, baru tiba di Kelantan pada jam 11 pagi, Selasa bersama isteri serta dua anak mereka berusia dua dan empat tahun.
Ahmad Nurruddin pula baru saja menamatkan pengajian di Institut Latihan Perindustrian di Jitra, Kedah.
Mereka menyertai perkelahan bersama kira-kira 20 ahli keluarga di pantai itu dan tiba di pantai tersebut kira-kira jam 4 petang sebelum tragedi berlaku.
Ringkasan AI
- Ipar kepada dua mangsa lemas melihat mereka terkapai-kapai di Pantai Kandis
- Mohd Ezad Abu Hassan menyelamatkan anaknya tetapi dua iparnya hilang
- Ahmad Badrul Naim Ab Wahab dan Ahmad Nurruddin menjadi mangsa lemas
- Peristiwa berlaku semasa perkelahan keluarga yang melibatkan kira-kira 20 ahli keluarga
- Mohd Ezad, Ahmad Badrul Naim, dan Ahmad Nurruddin mempunyai latar belakang tentera udara, pegawai bomba, dan baru tamat pengajian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

