Lori bawa rokok seludup RM13.4 juta ditahan

Shazeli (dua dari kanan) menunjukkan muatan rokok tidak bercukai yang dirampas polis 3 Ogos lalu.
Shazeli (dua dari kanan) menunjukkan muatan rokok tidak bercukai yang dirampas polis 3 Ogos lalu.
A
A
A

SEPANG - Penahanan sebuah lori bonded di Plaza Tol Lebuhraya Maju Expressway (Mex) di sini pada 3 Ogos lalu membawa kepada penemuan rokok seludup bernilai RM13.4 juta.

Pembongkaran itu dilakukan sepasukan Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, penahanan lori kira-kira jam 2.30 petang itu membawa kepada tangkapan dua lelaki tempatan berusia 35 dan 38 tahun.

Katanya, pemeriksaan dalam lori terbabit menemui 566 master case (28,300 karton) rokok tidak bercukai kastam bernilai RM13.4 juta.

"Polis turut merampas lori terbabit, anak kunci, dua telefon bimbit dan empat helai kertas 'delivery order'.

Shazeli (dua dari kanan) menunjukkan antara rampasan rokok yang dirampas polis pada 3 Ogos lalu.
Shazeli (dua dari kanan) menunjukkan antara rampasan rokok yang dirampas polis pada 3 Ogos lalu.

"Semakan lanjut terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah," katanya dalam sidang akhbar di IPD Sepang di sini pada Isnin.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti dari mana rokok terbabit dibawa masuk selain tindakan diambil mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Artikel Berkaitan:

Tambah Shazeli, Polis Selangor mengingatkan orang ramai agar tidak terlibat dalam sebarang kegiatan penyeludupan atau penjualan rokok tidak sah.

Jelasnya, kejayaan tangkapan dan rampasan itu mencerminkan komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membanteras jenayah penyeludupan yang boleh menjejaskan hasil negara keselamatan dan ketenteraman awam.

Dalam kes berlainan berhubung remaja warga Britain, David Balisong, 17, yang dilaporkan hilang selepas memasuki Malaysia pada 7 Jun lalu, Shazeli berkata, polis masih menjalankan siasatan di lapangan untuk mengesan keberadaan pelajar itu.

Jelasnya, polis telah menerima maklumat daripada orang awam menyatakan melihat kelibat remaja itu di beberapa kawasan di Kuala Lumpur.

"Namun apabila pasukan penyiasatan pergi ke lokasi, tidak dapat dikesan secara fizikal.

"Tetapi temubual daripada penyalur maklumat mengesahkan bahawa wajah itu sama dengan wajah yang diedarkan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!