8 warga China ditahan, sindiket penipuan pelaburan terbongkar

BERA – Sindiket penipuan pelaburan terbongkar apabila lapan individu termasuk dua wanita warga China ditahan dalam serbuan di sebuah hotel di Triang, di sini Khamis.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir berkata, penahanan kesemua suspek dibuat dalam sebuan yang dijalankan
Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman bersama Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera.
"Suspek ditahan berusia 28 hingga 39 tahun dipercayai mengendalikan pusat panggilan tersebut sejak Oktober lalu.
“Kita merampas dua komputer riba dan 19 telefon bimbit yang digunakan untuk memperdaya mangsa melalui skim pelaburan palsu,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Zulkiflee berkata, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan menggunakan aplikasi Telegram bagi mendapatkan maklumat mangsa.
Jelasnya, mereka kemudian memperdaya mangsa melalui skim pelaburan yang menyasarkan warganegara China.
"Semua suspek direman sehingga 1 Disember ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420/120B Kanun Keseksaan," katanya
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa peka terhadap pelbagai taktik digunakan sindiket penipuan dan segera menghubungi polis sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan.
Ringkasan AI
- Sindiket penipuan pelaburan dibongkar dengan penahanan lapan individu termasuk dua wanita warga China di sebuah hotel di Triang, Bera
- Penahanan dibuat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman dan IPD Bera
- Suspek berusia 28 hingga 39 tahun mengendalikan pusat panggilan sejak Oktober lalu
- Dirampas dua komputer riba dan 19 telefon bimbit untuk skim pelaburan palsu
- Sindiket menggunakan aplikasi Telegram untuk mendapatkan maklumat mangsa dan menyasarkan warganegara China
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

