Kegiatan pelacuran tepi jalan terbongkar, 5 wanita warga India ditahan

Antara individu yang ditahan dalam serbuan Op Noda di sebuah hotel pada Rabu.
Antara individu yang ditahan dalam serbuan Op Noda di sebuah hotel pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kegiatan pelacuran yang ditawarkan di kaki lima sebuah hotel di Jalan Ampang di sini terbongkar apabila 12 individu termasuk lima wanita warga India ditahan dalam Op Noda pada Rabu.

Serbuan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur telah menahan tujuh lelaki dan lima wanita.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, kesemua wanita berusia antara 22 hingga 43 tahun itu disyaki menawarkan khidmat seks kepada lelaki warga asing dengan bayaran RM50 bagi setiap perkhidmatan.

“Modus operandi aktiviti pelacuran itu ialah 'ulat' akan tawar-menawar dengan pelanggan warga asing di kaki lima di hadapan hotel.

“Sekiranya pelanggan bersetuju, mereka akan dibawa ke hotel berkenaan untuk memilih pelacur,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mohamed Usuf berkata, dalam serbuan pada jam 8.30 malam itu, polis merampas satu buku catatan pelanggan, enam keping kondom, satu gulung tisu dan wang tunai berjumlah RM267.

“Hasil siasatan juga mendapati penawaran perkhidmatan seks dibuat kepada hampir tujuh hingga lapan pelanggan bagi setiap perkhidmatan,” katanya.

Dalam serbuan sama, Mohamed Usuf berkata, pihaknya telah menahan seorang lelaki dan menyelamatkan seorang wanita warga India berusia 39 tahun.

“Lelaki warga India berusia 41 tahun itu ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pemerdagangan orang untuk tujuan eksploitasi seks,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, mangsa mendakwa telah datang ke Malaysia melalui penerbangan dari Tiruchi, India pada 11 Julai lalu.

“Mangsa dijanjikan pekerjaan sebagai pembantu rumah. Apabila wanita itu tiba di Malaysia, dia telah dibawa ke hotel tersebut.

“Mangsa telah dikurung di dalam sebuah bilik hotel berkenaan. Wanita itu mendakwa suspek telah memukul dan memaksanya untuk melibatkan diri dalam kegiatan pelacuran,” katanya.

Menurutnya, suspek mengaku menguruskan kegiatan persundalan di mana mangsa akan ditawarkan RM50 hingga RM80 untuk setiap perkhidmatan seks.

“Lelaki itu juga mengaku telah mengendalikan aktiviti persundalan bersama seorang lagi suspek yang masih bebas.

“Kesemua individu yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!