Warga emas berputih mata wang pelaburan lebih RM300,000 lesap

Warga emas kerugian lebih RM300,000 gara-gara terpedaya dengan pelaburan tidak wujud. Foto hiasan
Warga emas kerugian lebih RM300,000 gara-gara terpedaya dengan pelaburan tidak wujud. Foto hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang warga emas berputih masa apabila wang pelaburannya berjumlah RM335,926.38 lesap gara-gara terpedaya dengan pelaburan tidak wujud.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komosioner Raub Selamat, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang mendakwa kejadian bermula pada Jun lalu ketika berada di rumahnya di Ulu Tiram.

Katanya, berdasarkan laporan, mangsa mengakui tertarik dengan satu pelaburan yang dipromosikan melalui iklan di media sosial.

"Mangsa kemudiannya telah menekan pautan iklan tersebut dan berhubung dengan seorang individu melalui WhatsApp.

"Suspek seterusnya meminta mangsa memuat turun satu aplikasi sebelum membuka akaun menggunakan maklumat peribadi dan mangsa dijanjikan pulangan lumayan. Aplikasi berkenaan turut menunjukkan pertambahan nilai bagi meyakinkannya.

Raub
Raub

"Mangsa kemudiannya telah membuat 25 kali transaksi kepada tiga akaun bank berbeza antara 11 September hingga 21 November lalu dan semakan mendapati, kesemua akaun yang menerima wang tidak mempunyai rekod sah," katanya.

Tambah Raub, setelah pembayaran dilakukan, mangsa masih tidak menerima sebarang pulangan keuntungan seperti dijanjikan, sebaliknya suspek turut meminta bayaran tambahan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, mangsa enggan meneruskan transaksi dan tampil membuat laporan polis kerana berasakan dirinya ditipu.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara 1 hingga 10 tahun, sebatan dan denda jika disabitkan kesalahan.

"Polis turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan menyemak nombor akaun penerima melalui portal rasmi Semak Mule (https://semakmule.rmp.gov.myhttps://semakmule.rmp.gov.my/) sebelum membuat pembayaran atau menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 bagi melaporkan aktiviti penipuan.

"Polis juga menegaskan bahawa pelaburan yang sah tidak akan meminta bayaran ke akaun peribadi atau menjanjikan pulangan luar biasa dalam tempoh singkat.

"Oleh itu, orang ramai diharapkan jangan mudah terpedaya dengan janji pulangan lumayan dalam masa singkat," katanya.

Ringkasan AI

  • Seorang warga emas di Johor Bahru kerugian RM335,926.38 selepas terpedaya pelaburan palsu
  • Pelaburan tersebut dipromosikan melalui iklan media sosial
  • Mangsa diminta memuat turun satu aplikasi dan membuat transaksi ke tiga akaun bank tanpa rekod sah
  • Mangsa tidak menerima sebarang keuntungan seperti dijanjikan dan enggan meneruskan pembayaran selepas menyedari ditipu
  • Polis menasihatkan orang ramai untuk menyemak nombor akaun melalui portal Semak Mule dan berhati-hati dengan janji pulangan lumayan segera

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!