Polis rampas 655kg daun ketum, penjawat awam antara ditahan

SUNGAI BULOH - Tujuh individu termasuk seorang penjawat awam ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan penyimpanan, pemprosesan dan pengedaran daun ketum serta air ketum di Taman Sri Putra, di sini pada Selasa dan Rabu.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, polis berjaya merampas 655 kilogram (kg) daun ketum di dalam beberapa kenderaan dan premis kediaman yang dipercayai digunakan sebagai lokasi pemprosesan.
"Kita turut merampas 251.5 liter air ketum yang disimpan dalam tong ais dan botol pelbagai saiz dipercayai siap untuk diedarkan.
"Dua buah kenderaan juga disita bagi membantu siasatan dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM65,000," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohd Yusri berkata, Op Pematuhan itu dijalankan oleh Cawangan Risikan dan Operasi dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Sungai Buloh bermula jam 12 tengah hari sehingga 5 pagi.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952. Kesemua barang kes telah dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh untuk tindakan lanjut," katanya.
Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius pengedaran daun ketum dan air ketum kerana ia boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
"Malah ia turut mengundang risiko kepada keselamatan pengguna jalan raya.
"Operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi membanteras aktiviti penyalahgunaan bahan terlarang," katanya.
Ringkasan AI
- Tujuh individu termasuk seorang penjawat awam ditahan kerana disyaki terbabit dalam penyimpanan, pemprosesan dan pengedaran daun ketum serta air ketum
- Polis berjaya merampas 655 kilogram daun ketum di beberapa kenderaan dan premis kediaman
- Turut dirampas adalah 251.5 liter air ketum
- Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM65,000
- Operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi membanteras aktiviti penyalahgunaan bahan terlarang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
