Gelombang pertama banjir Kelantan tertumpu di kawasan berdekatan pantai

KOTA BHARU - Gelombang pertama banjir akibat hujan lebat yang melanda Kelantan ketika ini tertumpu di kawasan berhampiran dengan pantai, menurut Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal.
Ini kerana katanya, beberapa daerah di bahagian selatan atau hulu negeri masih belum terjejas bencana berkenaan.
“Kawasan pesisir pantai merupakan lokasi awal yang mula dinaiki air.
“Jajahan Kota Bharu merekodkan pembukaan pusat pemindahan sementara tertinggi setakat ini dengan 19 PPS beroperasi bagi menempatkan penduduk yang terkesan,” katanya ketika ditemui melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sabak di sini pada Isnin.
Mangsa banjir seramai 3,561 turut membabitkan daerah Kota Bharu (2,799), Tumpat (4,966), Bachok (1,826) dan Pasir Puteh (140).
Beliau turut menasihatkan penduduk terutama di kawasan yang terdedah dengan angin kencang, hujan lebat dan laut bergelora perlu mengambil langkah berjaga-jaga susulan ramalan hujan berterusan sehingga Rabu ini.

“Saya menasihatkan semua penduduk di kawasan pantai supaya sentiasa berwaspada.
“Patuhi arahan daripada agensi berkuasa untuk berpindah dan mesti bertindak segera demi keselamatan,” katanya.
Mengulas mengenai keperluan logistik dan bantuan, Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean memaklumkan bahawa stok barangan asas di PPS berada dalam keadaan mencukupi walaupun terdapat PPS yang baru dibuka di sesetengah lokasi seperti di Pengkalan Chepa.
“Tidak ada isu kekurangan barang bantuan.
“Stok sedia ada yang disalur melalui agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat mencukupi dan berada dalam keadaan terkawal,” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri mengadakan tiga mesyuarat persediaan sebelum monsun bermula, melibatkan semua agensi dan jabatan berkaitan bagi memastikan penyelarasan lebih berkesan.
“Banjir yang berlaku lebih disebabkan hujan lebat dan saliran yang penuh.
“Jika hujan berhenti, air akan surut lebih cepat,” tambahnya.
Ringkasan AI
- Gelombang pertama banjir di Kelantan terjadi di kawasan pantai akibat hujan lebat
- Kawasan selatan atau hulu negeri belum terjejas banjir
- Jajahan Kota Bharu membuka 19 pusat pemindahan sementara untuk mangsa banjir
- Jumlah mangsa banjir melibatkan beberapa daerah termasuk Kota Bharu, Tumpat, Bachok dan Pasir Puteh
- Penduduk di kawasan pantai disarankan berwaspada dan patuhi arahan agensi berkuasa untuk berpindah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

