Lelaki, wanita ditahan berdua-duaan dalam kereta di tempat gelap

KOTA BHARU – Satu pasangan muda ditahan pihak penguat kuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) selepas dikesan berdua-duaan dalam keadaan mencurigakan di dalam sebuah kereta di Tunjong di sini, kira-kira jam 9 malam pada Sabtu.
Penahanan itu dilakukan menerusi operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan kelakuan tidak senonoh yang dilaksanakan di sekitar kawasan pentadbiran MPKB-BRI.
MPKB-BRI menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan, pasangan terbabit dikesan hasil operasi dan pemantauan yang dijalankan pihak penguat kuasa.

Menurut kenyataan itu, operasi berkenaan bertujuan mencegah aktiviti tidak bermoral selain memastikan kawasan pentadbiran MPKB-BRI sentiasa terkawal, selamat dan terpelihara.
Usaha itu juga selaras dengan imej Kota Bharu sebagai Bandar Raya Islam.
Sinar Harian sedang menghubungi MPKB-BRI bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung operasi berkenaan termasuk tindakan terhadap pasangan yang ditahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


