Dulu 'mak guard', kini miliki harta RM77.4 bilion

BEIJING – Kisah kejayaan Zhou Qunfei, yang pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan di tapak pembinaan sebelum membina empayar perniagaannya sendiri, sekali lagi meletakkan beliau sebagai antara wanita terkaya di China.
Pengasas dan Pengerusi Lens Technology berusia 56 tahun itu memiliki kekayaan bernilai 127 bilion yuan (RM77.4 bilion), menurut senarai Wanita Terkaya China Hurun 2026 yang diterbitkan Institut Penyelidikan Hurun yang berpangkalan di Shanghai, baru-baru ini.
Qunfei menduduki kedudukan pertama buat kali kedua, mengatasi Zhong Huijuan, bekas guru kimia yang mengasaskan syarikat farmaseutikal Hansoh Pharmaceutical.
Dilahirkan dalam keluarga miskin di kawasan luar bandar di wilayah Hunan, perjalanan hidup Qunfei menjadi inspirasi kepada ramai pekerja di China.
Beliau kehilangan ibunya ketika berusia lima tahun, manakala bapanya hilang penglihatan akibat kemalangan ketika bekerja. Keadaan itu menyebabkan Qunfei terpaksa meninggalkan alam persekolahan lebih awal.
Pada usia 16 tahun, beliau berhenti sekolah menengah dan berhijrah ke Shenzhen untuk mencari peluang pekerjaan. Kerjaya awalnya bermula sebagai pengawal keselamatan di tapak pembinaan sebelum bekerja di bahagian pemasangan sebuah kilang kaca, lapor The Standard dan South China Morning Post.

Bermodalkan pengalaman yang diperoleh, Qunfei menubuhkan bengkel sendiri pada 1993 ketika berusia 23 tahun. Beliau turut mempelajari secara kendiri teknik pencetakan skrin termaju serta penghasilan kaca melengkung.
Kira-kira sedekad kemudian, beliau bersama seorang rakan kongsi menubuhkan Lens Technology di Shenzhen.
Syarikat itu mula mendapat perhatian selepas menerima pesanan daripada Motorola sebelum mencatatkan kejayaan lebih besar apabila dipilih membekalkan skrin sentuh untuk model iPhone pertama keluaran Apple.
Lens Technology kemudiannya disenaraikan di pasaran saham Shenzhen pada 2015, tahun yang sama Qunfei pertama kali dinobatkan sebagai wanita terkaya di China.
Bagaimanapun, perjalanan perniagaannya bukan tanpa halangan. Qunfei pernah berdepan pelbagai cabaran, termasuk kehilangan rakan kongsi serta persaingan daripada pihak yang cuba menyingkirkan syarikatnya daripada pasaran, menurut perkongsiannya dalam satu temu bual bersama CNBC.
Pada 2018, kekayaan beliau turut terjejas apabila saham Lens Technology merosot susulan ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dengan China serta kebimbangan terhadap prestasi jualan Apple, lapor The Straits Times.
Sejak itu, Lens Technology memperluas operasi melangkaui sektor telefon pintar dengan memberi tumpuan kepada pembuatan termaju, selain mengambil peluang daripada peningkatan permintaan dalam bidang kecerdasan buatan (AI), robotik dan industri baharu.
Kini, syarikat berkenaan menghasilkan komponen untuk pelbagai produk, termasuk komputer, peranti boleh pakai pintar, kenderaan elektrik (EV) dan robot humanoid.
Strategi kepelbagaian perniagaan itu dilihat memberikan hasil positif apabila Lens Technology membuat penyenaraian sekunder di Hong Kong pada Julai lalu. Penyenaraian berkenaan menerima lebihan langganan kira-kira 462 kali, sekali gus mengukuhkan semula kedudukan kewangan Qunfei.
Nama beliau turut menjadi perhatian apabila duduk semeja dengan Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook dan pengasas Tesla, Elon Musk dalam satu majlis makan malam negara yang dianjurkan Presiden China, Xi Jinping untuk Presiden AS, Donald Trump, pada Mei lalu.
Selain itu, Qunfei turut disenaraikan dalam senarai Wanita Paling Berkuasa Asia 2026 terbitan majalah Fortune pada Oktober lalu, menduduki tempat ketiga.
Senarai Hurun yang menghimpunkan 50 wanita terkaya di China itu turut mendedahkan bahawa 65 peratus daripada mereka membina kekayaan melalui usaha sendiri.
Secara purata, golongan wanita berkenaan memulakan perniagaan ketika berusia sekitar 32 tahun dan kini berusia 59 tahun.
Kejayaan Qunfei membuktikan bagaimana pengalaman bekerja dari peringkat bawahan mampu menjadi asas kepada pembinaan sebuah empayar perniagaan yang berjaya. – Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
