'Takut dengar lantai bergoyang, tanah bergerak'

KOTA BHARU – Tiga sekeluarga hidup dalam ketakutan dan tidak dapat tidur malam apabila tebing di belakang rumah mereka di Kampung Gaung, Pendek di sini runtuh.
Insiden itu meninggalkan hanya dua meter jarak antara bahagian dapur dengan tebing yang dibimbangi terjunam ke Sungai Kelantan.
Ketika kejadian kira-kira jam 1 pagi pada Ahad itu, pemilik rumah, Harniza Yaacob, 53, terdengar dentuman kuat yang mengejutkannya daripada tidur sebelum mendapati sebahagian tebing telah menggelongsor ke sungai.
“Saya terjaga daripada tidur kerana terdengar bunyi dentuman kuat dan rasa amat takut.
“Saya beranikan diri keluar dalam hujan lebat dan menyuluh menggunakan lampu dalam keadaan gelap. Ketika itu saya nampak tebing tanah yang baru dibaiki telah runtuh,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini pada Isnin.

Kejadian runtuhan selepas hujan lebat sejak Jumaat itu turut hampir menjejaskan tiga lagi rumah serta sebuah pencawang elektrik di kawasan perumahan tersebut.
Menurut suri rumah itu, ia bukan kejadian pertama kerana runtuhan tanah bersama sebatang pokok rambutan pernah berlaku di belakang rumahnya pada November tahun lalu akibat arus deras sungai ketika hujan lebat.
“Kami letakkan kanvas sendiri untuk tahan runtuhan buat sementara waktu. Sudah dua malam saya tak boleh tidur, takut dengar bunyi lantai rumah bergoyang dan tanah yang terus bergerak,” katanya.
Harniza yang tinggal di situ sejak 2008 berkata, walaupun Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah membina benteng baharu pada Julai lalu, tanah tetap terus bergerak dan kini jarak rumahnya dengan tebing hanya kira-kira 30 meter dari sungai.

Dia yang menghidap penyakit kencing manis berkata, ketakutannya bertambah apabila paras air sungai naik serta hujan lebat, selain gegaran yang dirasai apabila jentera berat beroperasi berhampiran sebelum ini.
“Saya nak pindah, tapi kami memang tak ada tempat nak pergi. Saya hanya bergantung kepada pencen arwah suami yang meninggal dunia akibat sakit jantung pada 2003,” katanya.
Cucunya, Mohd Nuh Iman Faris, berusia setahun dan ibu bayi tersebut, Rohadatul Athirah Ismail, 30, yang bekerja sebagai jurumekap tinggal bersamanya kerana suami Rohadatul bekerja di Genting Highlands, Pahang.
Menurut Harniza, JPS kini sedang membaiki semula tebing runtuh terbabit, namun keadaan terus meruncing terutama setiap kali hujan lebat.
“Sekarang ini kami hanya bergantung kepada kanvas yang dipasang sendiri.
“Kalau runtuh lagi, memang tak sempat nak selamatkan apa-apa dan kami harap kerja membaiki runtuhan baharu ini dapat disiapkan dengan segera,” katanya.
Ringkasan AI
- Tiga sekeluarga hidup dalam ketakutan apabila tebing di belakang rumah mereka di Kampung Gaung, Pendek runtuh
- Insiden runtuhan tebing berlaku selepas hujan lebat, meninggalkan hanya dua meter jarak antara bahagian dapur dengan tebing
- Pemilik rumah, Harniza Yaacob, terdengar dentuman kuat dan menyaksikan tebing tanah yang baru dibaiki runtuh
- Harniza dan keluarganya sudah tidak dapat tidur malam kerana takut akan lagi runtuhan dan telah menggunakan kanvas sendiri untuk menahan runtuhan sementara
- Jabatan Pengairan dan Saliran sedang membaiki semula tebing tersebut, namun keadaan bertambah buruk setiap kali hujan lebat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

