242 mangsa banjir Pulau Pinang dipindahkan ke 4 PPS

Seramai 242 mangsa daripada 57 keluarga terpaksa dipindahkan ke empat PPS di dua daerah di Pulau Pinang susulan banjir yang melanda sejak petang Ahad.
Seramai 242 mangsa daripada 57 keluarga terpaksa dipindahkan ke empat PPS di dua daerah di Pulau Pinang susulan banjir yang melanda sejak petang Ahad.
A
A
A

KEPALA BATAS – Seramai 242 mangsa daripada 57 keluarga terpaksa dipindahkan ke empat pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah di Pulau Pinang susulan banjir yang melanda sejak petang Ahad.

Menurut kemas kini di laman sesawang lnfobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sehingga jam 7.46 pagi Isnin, tiga PPS dibuka di Seberang Perai Utara (SPU) manakala satu lagi di Seberang Perai Tengah (SPT).

Bagaimanapun cuaca di kebanyakkan kawasan dilaporkan mendung dan hujan renyai.

Empat PPS yang beroperasi ialah Sekolah Kebangsaan Permatang Pasir di SPT sementara tiga lagi di SPU iaitu Pusat Pemindahan Desa Puri, Sekolah Kebangsaan Pengkalan Jaya dan Sekolah Kebangsaan Lahar Yooi.

Daripada jumlah keseluruhan mangsa, SPU mencatatkan 192 orang daripada 46 keluarga, manakala SPT menempatkan 50 mangsa daripada 11 keluarga.

Pecahan kategori mangsa menunjukkan terdapat 72 lelaki dewasa (29.75 peratus) sementara 80 perempuan dewasa merangkumi 33.06 peratus daripada keseluruhan mangsa.

Seramai 56 kanak-kanak lelaki (23.14 peratus) turut dipindahkan bersama 32 kanak-kanak perempuan yang mewakili 13.22 peratus.

Turut direkodkan ialah dua bayi lelaki, manakala tiada bayi perempuan terlibat.

Selain itu, sejumlah 12 warga emas lelaki (4.96 peratus), 22 warga emas perempuan (9.09 peratus) seorang lelaki dan wanita orang kurang upaya (OKU) juga dipindahkan ke PPS.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, jumlah mangsa banjir membabitkan lima negeri terus meningkat kepada 8,895 orang membabitkan 3,162 keluarga dengan 40 PPS dibuka setakat jam 8 malam Ahad.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) berkata, Kelantan merekodkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 7,695 orang daripada 2,810 keluarga dengan 31 PPS dibuka di empat daerah diikuti Kedah seramai 404 orang daripada 122 keluarga dengan tiga PPS dibuka.

Terengganu pula merekodkan 361 mangsa banjir membabitkan 108 keluarga dengan dua PPS dibuka.

Mangsa banjir di Perlis pula seramai 307 orang daripada 92 keluarga ditempatkan di dua PPS sementara di Pulau Pinang 128 mangsa banjir membabitkan 30 keluarga ditempatkan di dua PPS.

 

 

Ringkasan AI

  • Seramai 242 mangsa dari 57 keluarga dipindahkan ke empat pusat pemindahan sementara di Pulau Pinang akibat banjir
  • Tiga PPS dibuka di Seberang Perai Utara dan satu di Seberang Perai Tengah
  • Cuaca mendung dan hujan renyai melanda kebanyakan kawasan
  • SPU mencatatkan 192 mangsa dari 46 keluarga, SPT menempatkan 50 mangsa dari 11 keluarga
  • Jumlah mangsa banjir di lima negeri meningkat kepada 8,895 orang melibatkan 3,162 keluarga

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!