Banjir semakin buruk, 10, 914 mangsa dipindahkan di lapan negeri

SHAH ALAM – Jumlah mangsa banjir di seluruh negara terus meningkat kepada 10, 914 orang setakat jam 10.30 pagi pada Isnin, dengan lapan negeri masih terjejas.
Menurut laporan terkini Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah itu melibatkan 3,872 keluarga dengan 71 pusat pemindahan sementara (PPS) yang aktif.
Kelantan kekal merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 8,452 orang yang ditempatkan di 36 PPS.
Daerah terjejas meliputi Tumpat, Bachok, Kota Bharu dan Pasir Puteh.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan memaklumkan situasi masih terkawal, namun pemantauan rapi diteruskan susulan ramalan hujan berterusan.
Terengganu menjadi negeri kedua paling terjejas, diikuti Perak, Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Sarawak.
Pihak berkuasa mengingatkan penduduk di kawasan berisiko supaya terus mematuhi arahan pemindahan bagi mengelakkan risiko keselamatan serta tidak melakukan aktiviti di sungai atau lokasi yang berpotensi dinaiki air secara mendadak.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengikuti perkembangan cuaca dan paras air sungai, menyediakan keperluan asas sebagai persiapan awal serta mengutamakan keselamatan keluarga sekiranya diarahkan berpindah.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini telah mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk di beberapa kawasan Pantai Timur dan utara Semenanjung sepanjang minggu ini.
Ringkasan AI
- Jumlah mangsa banjir di seluruh negara meningkat kepada 10,914 orang di lapan negeri
- Kelantan rekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 8,452 orang di 36 PPS
- Daerah terjejas termasuk Tumpat, Bachok, Kota Bharu dan Pasir Puteh
- Situasi banjir masih terkawal dengan pemantauan rapi oleh JBPM Kelantan
- Amaran hujan berterusan di beberapa kawasan Pantai Timur dan utara Semenanjung
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

