Bekalan banjir bernilai jutaan ringgit untuk penduduk Kelantan

Tikar yang menjadi antara keperluan mangsa banjir di PPS. FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID
Tikar yang menjadi antara keperluan mangsa banjir di PPS. FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

KOTA BHARU – Bekalan makanan dan keperluan asas bagi menghadapi banjir di Kelantan sudah siap sedia ditempatkan di 162 pangkalan hadapan di seluruh negeri itu.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Kelantan, Che Samsuzuki Che Noh berkata, langkah awal itu dilaksanakan bagi memastikan bantuan segera dapat disalur kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) sebaik bencana.

“Penghantaran bekalan dilaksanakan secara berperingkat sejak Oktober lepas ke daerah-daerah yang dikenal pasti berisiko dilanda banjir.

“Persediaan ini penting supaya bekalan sudah tersedia di kawasan bencana dan dapat disalurkan segera terutama jika berlaku keadaan yang menyebabkan laluan terputus,” katanya.

Bekalan yang dihantar ke pangkalan hadapan di daerah-daerah. FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID
Bekalan yang dihantar ke pangkalan hadapan di daerah-daerah. FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melihat bekalan kepada mangsa banjir di Depot Simpanan Keperluan Bencana di Pengkalan Chepa di sini pada Isnin.

Selain itu, kata beliau, JKM turut menyediakan 22 mini depot merangkumi pejabat JKM daerah dan 12 kontena dengan tiga ditambah tahun ini bagi lokasi penyimpanan bekalan.

Beliau berkata, persediaan kali ini turut disokong peningkatan peruntukan Persekutuan berjumlah RM3.5 juta berbanding RM3 juta tahun lalu selain RM1 juta disediakan Kerajaan Negeri bagi pembelian keperluan asas.

Artikel Berkaitan:

Antara stok sedia ada termasuk 127,487 tin sardin, 11,000 beg beras lima kilogram, 60,315 unit makanan retort dan 43,704 botol air mineral selain pelbagai keperluan bukan makanan seperti tikar, selimut dan kit kebersihan diri.

“Persiapan bekalan ini dijangka akan dapat membantu 60,000 mangsa banjir di 451 PPS di seluruh Kelantan,” katanya.

Che Samsuzuki berkata, sebanyak 127 pembekal tempatan turut dikenal pasti bagi membekalkan keperluan tambahan sepanjang tempoh bencana.

Dalam aspek pengurusan PPS, JKM Kelantan bersedia menggerakkan 400 pegawai dan kakitangan termasuk 13 kaunselor, 59 anggota pasukan sokongan psikologi (PST) serta 327 sukarelawan.

Latihan amal dan simulasi pengurusan PPS juga selesai dilaksanakan di semua 10 jajahan sejak September lalu bagi memastikan petugas memahami peranan masing-masing ketika bencana.

Dalam pada itu, beliau menggalakkan penduduk mendaftar lebih awal menerusi aplikasi MyIBJKM bagi memudahkan urusan pendaftaran apabila ditempatkan di PPS.

Katanya, setakat 13 Oktober lalu, sebanyak 79,455 keluarga atau ketua isi rumah (KIR) membabitkan 135,616 ahli rumah dikenal pasti, manakala 69,101 berdaftar dalam aplikasi berkenaan.

“Pendaftaran awal membolehkan maklumat ahli keluarga dan tempat tinggal dikenal pasti lebih awal sekali gus mengelakkan kesesakan ketika pendaftaran di PPS.

“Maklumat itu juga disalurkan kepada NADMA bagi memudahkan urusan bantuan kewangan selepas bencana,” katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!