Keputusan Najib dipenjara di rumah atau Penjara Kajang 5 Januari tahun depan

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Keputusan sama ada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak boleh memaksa kerajaan atau enam pihak lain di Mahkamah Tinggi di sini untuk melaksanakan Titah Adendum bagi membolehkannya menjalani hukuman penjara di rumah atau tidak, ditetapkan pada 5 Januari 2026.
Hakim, Alice Loke Yee Ching menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, 72, selaku pemohon sementara Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan bagi pihak kerajaan dan enam lagi yang dinamakan sebagai responden.
“Saya rasa patut ambil cuti Krismas untuk berfikir dan menimbangkannya dengan lebih mendalam,” kata hakim.
Semasa hujahan, Muhammad Shafee berkata, titah itu sah dan ia benar-benar wujud namun Jabatan Peguam Negara (AGC) mempunyai ‘sejarah penafian’ bermula permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman dibuat.
Beliau berkata, AGC sepatutnya diperintahkan untuk menyerahkan satu salinan titah itu memandangkan lebih setahun dokumen berkenaan dikeluarkan tetapi tidak dikuatkuasakan.
“Sedangkan, anak guam saya sepatutnya berada di bawah tahanan rumah sekarang.
“Keadilan sudah selesai, kini yang tinggal hanyalah belas kasihan,” kata peguam itu.
Bagaimanapun, Shamsul berkata, jika tahanan rumah terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan itu diputuskan sebagaimana dimaksudkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, maka ia sepatutnya dibincang dalam satu mesyuarat Lembaga Pengampunan.
Katanya, keputusan itu selaras prosedur ditetapkan di bawah Perkara 42(8).
Menurutnya, persoalan mengenai kesahihannya timbul kerana titah itu tidak diputuskan dalam mesyuarat lembaga dan pengeluarannya di luar kerangka prosedur yang dikehendaki.
“Susulan itu, Lembaga Pengampunan tidak dapat memberikan nasihat yang diwajibkan di bawah Perkara 42(9).
“Titah Adendum tidak dikeluarkan mengikut kerangka prosedur yang betul seperti yang ditetapkan di bawah Perkara 42(1) dibaca bersama Perkara 42(8) dan Perkara 42(9), oleh itu ia tidak boleh dikuatkuasakan dari segi undang-undang,” katanya.
Bekas Presiden UMNO itu memohon perintah mandamus bagi mengarahkan responden memberi jawapan serta mengesahkan kewujudan dokumen tambahan bertarikh 29 Januari 2024.
Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Anak jati Pahang itu turut memohon perintah sekiranya dokumen tambahan tersebut wujud, semua responden atau mana-mana seorang daripada mereka melaksanakannya serta-merta.
Ini termasuk memindahkannya dari Penjara Kajang ke kediamannya di ibu negara bagi menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Pada 13 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan memerintahkan kes berkenaan dikembalikan kepada Mahkamah Tinggi untuk pendengaran mengenai meritnya selepas menolak permohonan Peguam Negara untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan berhubung dokumen tambahan terbabit.
Mahkamah Persekutuan turut menolak rayuan Peguam Negara terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Najib mengemukakan bukti baharu bagi menyokong kewujudan dokumen tambahan.
Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Mahkamah Tinggi sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Persekutuan selepas menolak rayuan Najib.
Dia kemudian memfailkan petisyen bagi mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022, yang membawa kepada keputusan Lembaga Pengampunan untuk mengurangkan hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Ringkasan AI
- Keputusan sama ada Najib boleh menjalani hukuman penjara di rumah akan ditetap pada 5 Januari 2026
- Mahkamah Persekutuan memerintahkan kes Najib dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran meritnya
- Najib memohon perintah mandamus bagi mengesahkan kewujudan dokumen tambahan
- Najib menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 atas kesalahan menyeleweng dana SRC International
- Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara Najib dari 12 tahun ke enam tahun dan denda dari RM210 juta ke RM50 juta
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

